Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menyeru rakyat khususnya warga Felda menolak Umno dalam pilihan raya umum akan datang kerana didakwanya telah mengkhianati mereka ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Berhad (FGVH).

Terbaru, dakwanya, aset Felda yang berharga milik rakyat Malaysia yang majoritinya orang Melayu menjadi mangsa penggadaian seterusnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hadi mendakwa ladang, tanah dan segala perniagaan milik sepenuhnya warga Felda dan negara, difaraidkan sesama sendiri dan syarikat asing melalui usaha penyenaraian di bursa saham.

Katanya, beliau berasa pilu apabila peneroka dan kakitangan Felda yang membangunkan agensi tanah itu diberikan saham terkecil sejumlah 2.5 peratus hingga 3 peratus berbanding syarikat asing yang didakwanya memegang sekitar 20 peratus saham dalam FGVH.

Tidak mustahil, dakwanya, di masa akan datang syarikat asing atau mereka yang tidak kena mengena dengan Felda yang akan menjadi pemilik aset berharga Felda ini setelah saham-sahamnya terjual.

Bagi PAS, tambahnya, ia bukan sekadar masalah pengagihan saham tersebut yang utamanya, tetapi melibatkan tanah Felda dan aset berharga milik rakyat dan negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga Felda memberi undi kepada Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang kerana khuatir banyak lagi aset negara "berpontensi terjual di bawah pemerintahan Umno/BN".

Semalam Pengerusi FGVH Tan Sri Isa Samad dilapor yakin penyenaraian syarikat tersebut di Bursa Malaysia akan berjaya kerana memiliki model perniagaan yang kukuh meski pun berhadapan dengan ketidaktentuan global.

Menurutnya, pelabur institusi bagi tawaran awam permulaan (IPO) yang terdiri daripada 1.92 bilion mencatatkan lebihan langgan sebanyak 45 kali.