Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Sepina pada rakan Razak Baginda akan tiba'
Diterbitkan:  Jun 21, 2012 4:20 PM
Dikemaskini: 8:52 AM

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menegaskan peguamnya di luar negara dalam proses menghantar sepina kepada Jasbir Singh Chahl, yang dikatakan 'orang kanan' urusniaga Scorpene Malaysia-Perancis.

Menurut kenyataan sekretariat NGO hak asasi itu, peguam William Bourdon dan Joseph Breham di Perancis mengesahkan Jasbir sebagai saksi kes dan disepina oleh mahkamah.

"Penghantaran sepina sedang dibuat dan akan mengambil masa beberapa hari. Kami tiada maklumat lanjut bilakah tempoh waktu sebenar untuk proses ini," menurut kenyataan itu.

Kelmarin, Jasbir menafikan menerima sepina daripada badan kehakiman Perancis berhubung sebarang prosiding undang-undang seperti didakwa Penyelaras Suaram Cynthia Gabriel pada 15 Jun.

Jasbir menyifatkannya sebagai rekaan dan percubaan menjejaskan reputasi dan kewibawaannya selain menggesa kenyataan itu segera ditarik balik.

Beliau sebelum ini didakwa orang penting dalam urusniaga antara syarikat Malaysia Perimekar Sdn Bhd dan firma pertahanan Perancis DCNS.

Suaram juga mendakwa Jasbir sebagai kenalan rapat Abdul Razak Baginda yang dikatakan orang kepercayaan Datuk Seri Najib Razak.

Jasbir dan Abdul Razak juga didakwa bersama-sama menjadi pengarah syarikat Tererasi Ltd di Hong Kong.

Mahkamah Perancis menerima itu apabila syarikat negara itu yang membekalkan kapal selam Scorpene kepada Malaysia dituduh membayar jutaan ringgit sogokan kepada pegawai tertinggi Malaysia yang terlibat dalam pembelian.

Bawah undang-undang Perancis, apa-apa bayaran atau komisen dianggap sebagai haram.

[Baca berita penuh]

ADS