Syarikat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini mencapai penyelesaian dengan bekas pengerusinya Tan Sri Tajudin Ramli dalam tiga kes samannya.

Difahamkan, MAS akan memperolehi tanah di Langkawi yang menempatkan hotel Four Seasons sebagai sebahagian daripada penyelesaian itu.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur difahamkan membenarkan MAS dan Tajudin menarik balik saman dan tuntutan balas masing-masing.

Penyelesaian itu dibuat di hadapan Hakim Rosilah Yop.

Satu pengumuman dijangka akan dibuat di Bursa Malaysia hari ini. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Rosilah membenarkan permohonan MAS dan dua syarikat lagi membatalkan saman terhadap Tajudin dan kesemua tuntutan balas terhadap MAS dan 16 defendan lain juga dibatalkan.

Kedua-dua keputusan itu tidak melibatkan kos dan tanpa kebebasan untuk memfail semula kes.

   

Hakim Rosilah membuat keputusan tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Lim Kian Leong yang mewakili Tajudin, S.M. Shanmugam mewakili MAS dan Peguam Kanan Persekutuan Lailawati Ali bagi pihak kerajaan Malaysia.

Pada 2006, MAS dan dua syarikat berkaitannya, MAS Golden Holidays Sdn Bhd dan MAS Hotels & Boutiques Sdn Bhd selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap Tajudin dan empat defendan yang lain iaitu syarikat Naluri Corporation Bhd, Promet (Langkawi) Resorts Sdn Bhd, Kauthar Venture Capital Sdn Bhd dan Pakatan Permai Sdn Bhd.

   

MAS dalam saman itu antara lain mendakwa, pihak defendan telah melanggar kewajipan fidusiari (pemegang amanah) namun Tajudin yang berkhidmat di MAS antara 1994 hingga 2001 menafikan dakwaan tersebut.

   

Tajudin pula bersama Promet Resort dan Kauthar Venture Capital memfailkan tuntutan balas dengan menamakan MAS dan dua syarikat berkaitan dengannya serta 13 pengarah MAS dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan-defendan.