Penganjur Himpunan Hijau berkata polis Kuantan dengan berat hati membenarkan konvoi anti-Lynas yang dijangka menarik penyertaan 10,000 orang pada Ahad.

Pengerusi NGO berkenaan Wong Tack berkata ketua polis daerah Kuantan Jasmani Yusof pada awalnya menolak rancangan mereka untuk mengadakan acara Occupy Balok-Gebeng selama dua hari itu, namun, penganjur tetap berkeras dengan rancangan mereka.

"Kemudian beliau beritahu kami, beliau akan menggembleng tenaga yang ramai untuk menyelaras," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas pertemuan antara jawatankuasa pemandu Himpunan Hijau dan Jasmani hari ini.

Menurut Wong, Jasmani dalam pertemuan 20 minit itu menjelaska bahawa keselamatan di Kuantan dipertingkatkan kerana siri acara sukan yang akan berlangsung pada hujung minggu itu dan tidak disasarkan kepada acara Occupy Balok-Gebeng.

Polis juga mengingatkan mereka supaya tidak mewujudkan kekacauan atau mencetus keganasan, kata Wong.

Wong berkata perhimpunan berkenaan akan berlangsung dengan aman seperti dalam perhimpunan sebelum ini.

"Tapi saya juga tahu bahawa emosi orang ramai sedang menggelegak...," katanya.

Oleh itu, beliau tidak boleh memberi jaminan bahawa keadaan tidak terkawal tidak akan berlaku apabila mereka tiba di loji Lynas, katanya.

"Kita juga minta cadangan (Jasmani) untuk bantu kami, tapi dia berdiam diri," katanya lagi.

Himpunan Hijau merancang untuk menarik penyertaan ribuan orang untuk berjalan sejauh 11 km, bermula dari pantai Balok pada jam 9 pagi pada Ahad, sehinggalah tiba di loji nadir bumi Lynas di Gebeng.

[Baca berita penuh]