Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan melaksanakan Program Audit Bahasa pada hujung tahun ini dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Ketua Pengarahnya, Dr Awang Sariyan.
Beliau berkata program itu merupakan satu mekanisme perintis ke arah mengaplikasi bahasa kebangsaan sebaik mungkin di semua peringkat, bermula dengan jabatan kerajaan.
"Untuk permulaan, program itu akan dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan mengaudit kesemua tindakan mahupun aktiviti di JPA untuk melihat sejauh mana badan kerajaan itu mengguna pakai bahasa Melayu.
"Bagi fasa pertama program itu, DBP akan lebih memberi tumpuan kepada badan kerajaan sebelum fasa kedua dilaksanakan di semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," katanya kepada Bernama pada majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena ulang tahun ke-56 DBP malam ini.
Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Johan Jaafar, yang turut mendeklamasi puisi bertajuk 'Cerita Orang Desa di Kota'.
Awang berkata tugas DBP adalah untuk memastikan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa negara dan ia harus diguna pakai oleh semua termasuk golongan korporat, ahli akademik dan pemimpin negara.
Beliau juga berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal melancarkan buku 'Pelan Tindakan Bahasa Melayu' di majlis perasmian ulang tahun DBP pada 13 Julai depan.
- Bernama
