Tahanan ISA dapat perhatian s'jaya Pakistan
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP) menggesa kerajaan negara itu supaya memberikan bantuan kepada warganya yang ditahan bawah ISA di Malaysia.
HRCP berkata ia telah menyatakan kepada pejabat kementerian luarnya bahawa perkara itu memerlukan perhatian segera.
“Misi Pakistan di Kuala Lumpur harus diminta untuk menghubungi tahanan Pakistan dan memastikan mereka tidak dinafikan hak perundangan,” kataya dalam satu kenyataan pada Rabu lalu.
Suruhanjaya itu berkata tindakan itu sebagai maklum balas kepada maklumat yang diterimanya daripada pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia James Nagayam.
“Beliau menjumpai tiga warga Pakistan di pusat tahan keselamatan dalam negeri Malaysia. Menurut beliau, mereka didakwa memaslukan dokumen dan menyeludup manusia.
“Nagayam percaya ini bukan ancaman negara. Oleh itu beliau berpendapat warga Pakistan itu ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negei Malaysia,” kenyataan itu dipetik.
Berdasarkan nota yang didakwa diseludup keluar daripada pusat tahanan ISA di Kamunting, Malaysiakini melaporkan bahawa tahanan berkenaan dikenakan pelbagai bentuk penyeksaan yang menghinakan.
Walaupun ISA telah dimansuhkan, seramai 45 orang masih berada dalam tahanan dan sekurang-kurang dua di antara mereka memulakan siri kedua mogok lapar pada 21 Jun.

