Seramai 140 orang peneroka Felda hari ini memfailkan injunksi untuk menghalang pihak berkuasa daripada memproses permohonan pinjaman mereka untuk membeli saham bagi penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Dalam permohonan tersebut, kumpulan peneroka daripada Pahang, Kedah dan Johor itu menyatakan bahawa mereka mahu satu injunksi untuk menghalang dana berkenaan dipindahkan kepada FGV.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi di Kuantan melalui firma Mohd Harris.

Peguam berkenaan, Mohd Harris Abdullah memberitahu Malaysiakini bahawa permohonan itu menamakan 44 orang pengurus Felda seluruh negara dan lima bank yang terlibat dalam penyenaraian berkenaan sebagai responden.

Institusi kewangan terbabit ialah CIMB Bank, Maybank Islamic, Ambank, Affin Bank dan Bank Islam.

Mohd Harris berkata, peneroka berkenaan membuat permohonan itu kerana didakwa diberikan janji palsu oleh pihak berkuasa, tidak diberikan taklimat memadai dan gangguan supaya menandatangani borang permohonan kosong.

Mahkamah Tinggu Kuantan menetapkan 6 Julai untuk mendengar permohonan inter-parte tersebut di hadapan Hakim Mariana Yahya.

FGV dijadualkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada Khamis.