Tengku Razaleigh Hamzah tidak suka berterus terang apakah jawatan yang bakal ditandinginya. Menjelang pemilihan agung Umno 1987, Ku Li bergurau bahawa beliau lebih berminat merebut jawatan 'pemeriksa kira-kira' dan ia dilaporkan di muka depan akhbar tempatan. Tetapi tahun itu, beliau hanya memerlukan lebih sedikit daripada 40 undi untuk menduduki jawatan presiden dan tentunya perdana menteri.

Kali ini nampaknya Ku Li belum lupa taktik lamanya itu. Dalam satu wawancara dengan sebuah [#1]majalah mingguan[/#] serantau tiga bulan lalu, Ku Li berkata beliau berhasrat bertanding sebagai 'pemeriksa kira-kira' lagi. Dan tentunya beliau ketawa ketika menjawab soalan itu.

Kenyataannya untuk tidak bertanding jawatan presiden atau timbalan presiden baru-baru ini, seperti disiarkan di halaman depan Utusan Malaysia , samalah tarafnya dengan penafian Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ingin mencabar Tun Ghafar Baba pada 1993. Lagi pun, akhbar itu menyimpan niat halus untuk memaksa anak raja Kelantan yang bercita-cita tinggi itu mengisytiharkan sikapnya.

Selain menyerang pembangkang menjelang pilihanraya, akhbar-akhbar arus perdana sering memainkan peranannya menaikkan (dan juga menjatuhkan) tokoh-tokoh tertentu dalam Umno, khususnya ketika demam pemilihan seperti ini. Untuk merebut kedudukan nombor dua dulu, Anwar sendiri berkubu di sebalik kempen media yang cukup terancang.

Namun, Ku Li cepat-cepat mematahkan isu itu yang dilihat boleh menyulitkan keadaannya. Beliau sebaliknya mencadangkan kaedah undi rahsia diperkenalkan untuk memilih wakil-wakil bahagian ke pemilihan agung parti pada Mei depan. Lazimnya ground rule ini menguntungkan pencabar kerana penyandang - apatah seorang Perdana Menteri dan timbalannya - mempunyai kuasa yang terlalu besar untuk mempengaruhi 165 ketua bahagian. Ketua-ketua bahagian Umno pula rata-ratanya fat cat yang rela menjual prinsip demi menghormati fobia dihukum oleh penyandang.

Inilah punca sebenar yang menjadikan Ku Li harus berfikir banyak kali - bertanding atau tidak; dan jika mahu, jawatan apakah yang mahu ditandinginya. Arus perubahan, atau 'reformasi,' di peringkat akar umbi memihak kepada Ku Li tetapi fobia itu tidak memungkinkan beliau mendapat 50 pencalonan bahagian untuk melayakkannya bertanding. Sebab itu, undi rahsia sangat penting. Tetapi menurut sumber, Ku Li tidak sukar mendapatkan 35 bahagian bagi melayakkan pertandingan jawatan nombor dua. Setakat ini 12 daripada 14 bahagian di Kelantan dilaporkan berdiri di belakangnya.

Bagaimanapun, orang Melayu umumnya berminat melihat Ku Li menentang Dr Mahathir, Presiden Umno selama 18 tahun, mempunyai tiga bekas timbalan dan Perdana Menteri yang semakin digeruni serta paling lama mentadbir di Asia. Dalam satu tinjauan malaysiakini , lebih 69 peratus daripada 3634 responden berharap Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu mencabar jawatan teratas. Tan Sri Musa Hitam, yang pernah menjadi running mate pada 1987, dikatakan bersedia di belakang Ku Li jika Mahathir dicabar tetapi Musa tidak bersedia menolong sekiranya Naib Presiden yang memangku tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Abdullah Badawi dicabar.

Orang Melayu umumnya tidak ghairah melihat Ku Li mencabar Pak Lah. Tinjauan malaysiakini yang sama mendapati hanya 18 peratus pengunjung berpendapat begitu. Tinjauan ini tidaklah saintifik tetapi menunjukkan wishful thinking atau impian pembaca laman web ini. Malah, pandangan pesimis membayangkan Ku Li akan tewas jika bertanding di peringkat nombor dua. Alasannya, kekuatan di belakang beliau akan berpecah-belah tetapi Ku Li akan mendapat sokongan padu untuk merebut jawatan nombor satu.

Lagipun, penyokong Umno melihat Mahathir lebih layak ditewaskan berbanding Pak Lah. Presiden yang semakin mencengkam kuku kuasanya itu - walaupun tidak pernah diumumkan - dilihat sebagai faktor utama pengaruh Umno merosot dan kini menjadi beban terbesar untuk memulihkan kemerosotan itu.

Ku Li belum pasti menerima tawaran Musa tetapi penyokong Anwar dalam Umno bersedia bersamanya. Beliau pula cepat menjelaskan bahawa hubungannya dengan Anwar tidak pernah bermasalah, malah bekas pemimpin ABIM itu pernah memohon jasa Ku Li untuk menjadi orang tengah sebelum berunding dengan Mahathir pada 1982 - kemasukan Anwar ke dalam Umno. "[Anwar] tidak mempunyai apa-apa makna kepada kami waktu itu," jelas Ku Li apabila ditanya kemungkinan berlaku perselisihan antaranya dengan Anwar pada pemilihan agung 1987.

Ku Li juga menjawab 'agak positif' apabila ditanya kemungkinan Anwar akan diajak menyertai kembali Umno selepas ini. "Jika ahli-ahli mahu [Anwar] kembali aktif dalam Umno, beliau akan diterima menyertai Umno," jawabnya. "Umno sebuah parti Melayu dan oleh itu, ia patut terbuka kepada semua orang Melayu. Jika ahli-ahli berfikir seseorang wajar dibawa masuk kerana beliau boleh menyumbang ke arah perjuangan Melayu di negara ini, kenapa tidak?"

Ku Li tidak mungkin melupakan isu Anwar dalam kempennya kali ini. Dalam keadaan masih banyak pengikutnya tertinggal di luar - selepas Semangat 46 dibubarkan agar semuanya menyertai Umno. Lagi pun, kedua-duanya Anwar dan Ku Li menerima 'hukuman yang dahsyat' dari orang yang sama. Jika Ku Li mencabar Mahathir kali ini, siapakah orang kuat Anwar yang menggantikan tempat Musa dahulu? Senarai itu tidaklah terlalu panjang dan hantu Anwar akan terus mengejar Mahathir dalam pemilihan agung Umno kali ini.