Bank Negara Malaysia (BNM) berkata ia akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap H & I Niaga Sdn Bhd, bekas kontraktor pembinaan Pusat Sumber Perkhidmatan Kewangan Bank Negara Malaysia.

   

Pada 20 Jun, H & I Niaga mengemukakan tuntutan saman bernilai RM131.9 juta terhadap bank pusat itu sebagai gantirugi dan bayaran yang belum lunas bagi pembinaan bangunan itu.

   

Kontraktor Kelas A Bumiputera yang telah diberikan kontrak bernilai  RM320.3 juta pada September 2005 itu mendakwa kontraknya telah ditamatkan secara salah pada 2010 setelah kerja pembinaan itu lebih daripada 90 peratus siap.

   

Dalam satu kenyataan semalam, BNM berkata, H & I Niaga Sdn. Bhd. pada awalnya telah merujuk pertikaian kontrak tersebut untuk penimbangtaraan (arbitration), namun pada hari pertama sebutan kes itu di mahkamah, H & I Niaga Sdn Bhd. telah menarik diri daripada proses penimbangtaraan ini.

   

BNM berkata, ia mempunyai proses tadbir urus yang mantap dalam semua perkara yang dilaksanakan oleh Bank.

   

"Bank Negara Malaysia juga mempunyai dokumen terperinci bagi setiap peringkat pembinaan bangunan tersebut, termasuk rekod bagi keputusan yang telah dibuat," katanya.

    

Kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini. 

- Bernama