IGP: Tak percaya polis, boleh rujuk GPI
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar Jumaat menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan berlaku peningkatan kadar jenayah di negara ini berdasarkan kes jenayah yang dilaporkan media massa termasuk media sosial.
Beliau berkata dakwaan itu tidak benar kerana berdasarkan statistik yang diperoleh daripada polis negeri dan daerah termasuk platform antarabangsa seperti Indeks Keamanan Global (GPI), menunjukkan keberkesanan negara dalam menangani dan mengurangkan kadar jenayah.
"Sekiranya ada pihak yang masih tidak mempercayai dengan apa yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dua tahun lepas, boleh rujuk laporan yang dikeluarkan antaranya oleh GPI.
"Dan, semalam ahli panel antarabangsa yang menghadiri mesyuarat dua hari Panel Antarabangsa mengenai Kajian Semula Mengurangkan Kadar Jenayah 2012 melalui NKRA turut mengakui apa yang kita buat adalah benar," katanya kepada pemberita selepas majlis menghijaukan Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.
Mesyuarat dua hari itu turut dihadiri Pengarah Pengurusan Pasukan Polis Hong Kong, SAC Tang How Kong dan bekas Pengarah Sumber Manusia Polis Metropolitan London, Peter Clarke.
- Bernama

