Most Read
Most Commented
Read more like this

Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin digesa menaikkan gaji asas kakitangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam belanjawan 2000 yang akan dibentangkan Jumaat ini. Tangga gaji kakitangan polis di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) dianggap masih rendah dan tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Tangga gaji kakitangan polis di peringkat bawah, khususnya mereka yang berpangkat konstabel [...] wajar disemak semula sekurang-kurangnya 50 peratus," saran Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya kepada malaysiakini .

Bekas Ketua Pembangkang selama 25 tahun di Dewan Rakyat itu menggesa peningkatan gaji untuk semua pangkat kakitangan PDRM bersesuaian dengan kadar masing-masing. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang cadangan berhubung kadar tersebut.

Berdasarkan SSB, gred Y14 bagi kakitangan berpangkat konstabel, tangga gaji mereka seperti berikut: P1 sebanyak RM485, P2 (RM520) dan P3 (RM556). Paling akhir kenaikan gaji anggota polis ialah pada 1995. Tiga tahun sebelum itu, tangga gaji bagi konstabel adalah: P1 sebanyak RM419, P2 (RM448) dan P3 (RM478).

Sementara gred Y12 bagi kakitangan berpangkat korporal pula ialah: P1 sebanyak RM590, P2 (RM628) dan P3 (RM670). Sebelum itu, P1 sebanyak RM530, P2 (RM564) dan P3 (RM599).

Daim wajar dikecam di Dewan Rakyat jika gagal berbuat demikian, kata Kit Siang selanjutnya. Belanjawan yang pernah dibentangkan pada 29 Oktober tahun itu dijangkakan tidak mengalami sebarang perubahan.

Tinjauan malaysiakini hari ini di kalangan kakitangan rendah PDRM mendapati mereka benar-benar berharap kenaikan gaji dilaksanakan segera oleh kerajaan memandangkan kenaikan kos sara hidup dan beban tugas yang semakin mencabar.

Menurut sumber Unit Gaji di Ibupejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman, kakitangan polis berpendapatan rendah hanya mendapat gaji asas dan faedah-faedah perkhidmatan yang sama seperti kakitangan awam kerajaan. Misalnya, kakitangan yang bertugas di bahagian jenayah menerima elaun detektif tidak sampai RM100 setiap bulan.

"Jumlah elaun bulanan yang diterima adalah kecil dan tidak setimpal dengan tugas mereka," jelas seorang pegawai berpangkat inspektor yang tidak mahu dikenali.

Lima tahun lepas, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan gaji minima sebanyak RM1000 tetapi tuntutan itu belum ditunaikan oleh kerajaan walaupun negara mencapai kemajuan ekonomi yang pesat. Gaji minima bagi kakitangan awam kini adalah sebanyak RM400.

Menurut satu laporan Bank Negara, purata pendapatan per kapita rakyat negara ini ialah sebanyak RM12,135 pada 1998.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS