PM lancar pelan induk PKS 2012-2020
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 dengan matlamat meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi serta berinovasi, meningkatkan tahap produktiviti dan mempergiat formalisasi perniagaan.
Najib berkata semua empat matlamat itu akan menyumbang kepada visi Pelan Induk berkenaan untuk melahirkan PKS yang berdaya saing di peringkat global bagi meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, Pelan Induk PKS 2012-2020: Memangkin Pertumbuhan dan Pendapatan itu akan melakar hala tuju PKS dengan mensasarkan peningkatan sumbangan PKS kepada KDNK daripada 32 peratus pada tahun 2010 kepada 41 peratus pada tahun 2020.
Beliau berkata ini memerlukan lonjakan berganda dalam pertumbuhan PKS yang akan tercapai menerusi enam program berimpak tinggi serta langkah-langkah pelengkap yang lain, sambil menambah secara keseluruhan pelan itu menyarankan 32 inisiatif untuk mencapai matlamat tersebut.
"Berdasarkan mesyuarat hari ini, kita tekankan strategi baru 'breakout', di mana kita ingin beri galakan dan sokongan supaya mikro enterprise yang ketika ini berjumlah 77 peratus daripada semua PKS, dilonjakkan kepada status PKS. Kita nak memastikan mikro enterprise ini dapat dijadikan enterprise yang lebih
besar," kata Najib semasa melancarkan Dokumen Pelan Induk itu di Dewan Persidangan bangunan Perdana Putra di Putrajaya.
Perdana menteri yang juga menteri kewangan berkata jika ditinjau dari perspektif yang lebih besar, pelan induk PKS ini sebenarnya sesuatu yang strategik dan pelengkap kepada dasar dan inisiatif sedia ada kerajaan.
Justeru itu, katanya, semua dasar ekonomi penting termasuk pembangunan PKS harus bergerak seiring bagi mencapai sasaran yang ditetapkan, dan sebagai pelengkap pula pelan induk PKS itu turut berusaha memperkukuh dasar makro lain yang mendokong inisiatif di bawah Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi
Ekonomi.
Menurutnya, Pelan Induk PKS itu akan bertindak sebagai "game changer" bagi meningkatkan sumbangan PKS kepada ekonomi, dan seterusnya membawa pembangunan PKS ke peringkat lebih tinggi, menerusi peningkatan produktiviti dan pertumbuhan yang dipacu oleh inovasi.
Najib berkata peranan serta fungsi agensi penyelaras pusat PKS iaitu SME Corp Malaysia perlu diperkukuh dan diperkasa bagi membolehkan ia bertindak sebagai peneraju kepada pelan itu.
Beliau berkata menerusi perkongsian awam-swasta, kementerian dan agensi pelaksana yang lain akan bekerjasama serta berkongsi tanggungjawab dan akauntabiliti dengan sektor swasta ke arah mencapai matlamat pelan tersebut.
"Pelan Induk PKS adalah pelan sepanjang hayat yang akan kekal relevan dengan perubahan masa kerana ia bukan sesuatu yang rigid tetapi dinamik dan fleksibel," katanya.
Menurut beliau, pelan yang dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia itu juga adalah untuk semua sektor dan lapisan masyarakat termasuk usahawan bumiputera dan mikro, umpamanya program Keterangkuman Inovasi, salah satu daripada program berimpak tinggi di bawah Pelan Induk yang disasar kepada golongan berpendapatan
rendah.
Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat ke-13 Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) di Bilik Mesyuarat Aras 1 Bangunan Perdana Putra bersama menteri Kabinet dan ketua-ketua agensi yang berkenaan bagi membincangkan mengenai hala tuju dan strategi pelaksanaan keseluruhan Pelan Induk PKS itu.
- Bernama

