Ketua penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Riduan Mohd Nor berkata, dakwaan bahawa Umno sedia membayar sehingga RM160 juta kepada MP PKR supaya melompat parti perlu disiasat kerana melibatkan jenayah rasuah.

"Bagi DPPM, pendedahan ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan jenayah rasuah yang secara jelas mencemar institusi Parlimen di negara ini.

"Ahli-ahli parlimen telah dihinakan dengan dakwaan rasuah, seolah-olah mereka adalah barangan dagangan yang boleh dijual beli dengan mudah.

"SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) seharusnya tidak berdiam diri dengan pendedahan ini, kerana ia adalah jenayah rasuah secara besar-besaran yang dilakukan oleh pemimpin negara dan gejala ini boleh merosakkan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pendedahan berkenaan MP Tanah Merah, Amran Ab Ghani yang mendakwa beliau dan tujuh lagi MP PKR didakwa didatangi individu yang mahu mereka keluar parti beramai-ramai untuk membantu BN mendapatkan kembali majoriti dua pertiga.

"Jika benar dakwaan tersebut, DPPM mempersoalkan dari mana Umno-BN mendapatkan duit sebanyak RM 160 juta untuk lapan ahli parlimen atau RM 20 juta untuk seorang ahli parlimen?

"Umno sanggup membelanjakan duit sebanyak itu bagi membeli ahli-ahli parlimen supaya mereka dapat membentuk majoriti dua pertiga yang bertujuan memudahkan mereka meluluskan apa sahaja akta yang boleh menurut kemahuan mereka tanpa disekat.

"Walhal jumlah itu jika dibelanjakan untuk rakyat terlalu banyak boleh dimanfaatkan," kata Riduan lagi.