Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2,500 rakyat M'sia di penjara luar negara
Diterbitkan:  Jul 16, 2012 1:56 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Seramai 2,500 rakyat Malaysia ditahan di penjara luar negara atas pelbagai kesalahan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

    

Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah menyeludup dadah, membunuh, memalsukan kad kredit, kesalahan komersial, mencuri, kesalahan imigresen, menipu serta memalsukan dokumen, dan penyeludupan manusia.

    

"Antara negara yang mempunyai tahanan rakyat Malaysia ialah Singapura 1,096 orang, Thailand (444), China (231), Indonesia (148), Taiwan (137), Australia (77), Sepanyol (47), Kuwait (33), Vietnam (29), dan Perancis seramai 25 orang," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Chin Su Phin.

    

Kohilan berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan rakyat Malaysia yang telah ditahan di luar negara, namun tidak akan mencampuri urusan dalaman negara tersebut.

    

"Kementerian akan berusaha melindungi hak rakyat kita sepertimana termaktub di bawah undang-undang negara tersebut dan juga undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsular 1963," katanya.

Menjawab soalan tambahan anggota yang sama mengenai sama ada terdapat undang-undang yang membenarkan banduan rakyat  Malaysia untuk dibawa pulang, Kohilan berkata kementerian sedang merangka mekanisme tersebut.

Beliau berkata belum ada undang-undang yang membenarkan banduan rakyat Malaysia dibawa pulang, namun kementerian sedang mengkaji dan menyediakan protokol-protokol serta mekanisme pelaksanaan bagi membawa pulang banduan menjalani hukuman di negara ini mengikut Akta Penjara 1995 dan Peraturan Penjara

2000.

    

"Satu jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Kementerian Dalam Negeri bersama Kementerian Luar Negeri, Kementerian  Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Jabatan Penjara untuk menyediakan undang-undang Akta Pemindahan Antarabangsa bagi membawa pulang rakyat yang ditahan di luar negara," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS