Seramai 15,390 pegawai dan penjawat awam berasal dari Semenanjung Malaysia yang kini bertugas di 94 jabatan persekutuan dan 42 badan berkanun di Sabah.
Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Radin Malleh berkata jumlah yang paling ramai ialah mereka yang berkhidmat di bawah Jabatan Pelajaran Sabah iaitu seramai 8,152 orang pada tahun lepas.
Katanya, secara purata jumlah kakitangan awam persekutuan dari Semenanjung yang dihantar bertugas ke Sabah di pelbagai agensi Persekutuan ialah antara 7,500 hingga 8,500 orang setahun, sejak lima tahun lepas.
"Jumlah pegawai dan kakitangan di Sabah seramai 85,498 dan 82 peratus daripada jumlah itu adalah berasal dari Sabah," katanya ketika menjawab soalan Abd Muis Picho (BN-Sebatik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Azizah Mohd Dun ketika menjawab soalan Datuk Louis Rampas (BN-Kiulu) mengenai jumlah kanak-kanak jalanan yang terdapat di Sabah berkata, berdasarkan statistik 2007 hingga Mei 2012 seramai 1,392 orang kanak-kanak diselamatkan
manakala seramai 1,392 dibebaskan dalam tempoh itu.
Katanya, seramai 65 orang masih berada di Rumah Perlindungan Ehsan Kota Kinabalu yang dikendalikan pihak berkuasa Pasukan Petugas Khas Sabah/Labuan.
- Bernama
