Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mempersoalkan status sebuah syarikat pengurusan acara yang didakwa terlibat dalam pengurusan satu seminar kepimpinan Felda.

Presiden ANAK Mazlan Aliman mendakwa, Felda perlu membayar sehingga RM2 juta kepada syarikat tersebut untuk pengurusan seminar "Transformasi Kepimpinan Selepas Penyenaraian" yang diadakan pada 8 hingga 10 Julai lalu.

NONE "Seminar ini diadakan di Sunway Putra Hotel baru-baru ini yang melibatkan seramai 400 orang peserta. Seminar ini anjuran Felda.

"Tetapi kami dapati, Felda perlu membayar sebanyak RM2 juta kepada sebuah syarikat (pengurusan acara) yang telah ditutup. Syarikat dah tutup tapi dapat kontrak untuk urus seminar dan kos RM2 juta," dakwanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Ditanya bagaimana beliau mendapat tahu bahawa Felda perlu membuat bayaran berkenaan kepada syarikat itu, Mazlan mendakwa perkara itu didedahkan oleh satu sumber yang enggan dinyatakannya.

"Kita ada bukti dan akan sebut dalam tempoh seminggu lepas puasa," katanya.

Dalam sidang media itu, Mazlan turut menunjukkan dokumen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menunjukkan bahawa syarikat berkenaan tidak lagi aktif.

Merujuk kepada dokumen tersebut, Mazlan berkata syarikat tersebut telah mendaftar operasinya pada tahun 2002.

"Kita nak minta penjelasan daripada pengurusan tertinggi Felda, bagaimana wang sebanyak ini boleh dibelanjakan untuk seminar selama 3 hari," katanya lagi.

Tuntut PKNK minta maaf

Dada sidang media sama, NGO bawah PAS itu turut menuntut agar pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memohon maaf atas tindakan pembelian saham FGVH.

Sambil melahirkan rasa kecewanya Mazlan berkata, beliau tidak akan menerima sebarang alasan yang diberikan.

"Kami dukacita apabila syarikat kerajaan negeri Kedah telah beli saham FGVH yang ditawarkan iaitu sebanyak setengah juta unit.

"Bukan soal saham tetapi sebagai presiden ANAK, NGO yang bertarung dengan kerajaan dalam isu ini rasa kecewa. Kesal atas apa yang berlaku. Lepas ini jadikan pengajaran untuk setiap anak syarikat kerajaan negeri.

"Kalau menteri besar tak tahu (pembelian saham), pengerusi itu yang buat keputusan. Saya boleh katakan ia (buat keputusan) suatu perbuatan yang malang," katanya lagi.