MP tuntut SYABAS dedah maklumat berkaitan air

       

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menuntut Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) agar mendedahkan maklumat-maklumat penting bagi mengesahkan dakwaan wujudnya krisis air di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Beliau menuntut SYABAS mendedahkan antara lain jumlah air mentah yang keluar dari empangan dan sungai ke dalam loji rawatan bagi tempoh 1 Januari 2012 sehingga 15 Julai 2012, bacaan meter air masuk ke 33 loji rawatan air di Selangor dan bacaan meter air masuk ke sistem pengedaran air pengguna bagi tempoh yang sama.

NONE Selain itu, beliau turut menuntut SYABAS bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mendedahkan log buku rekod air yang dipam loji rawatan bersama bil elektrik, penggunaan bahan kimia, dan bil dari Puncak Niaga, Abass dan Splash kepada SYABAS.

"Saya cabar SYABAS, kalau betul ada krisis air dedahkan maklumat ini di ruang awam," katanya.

Beliau yang turut bertindak sebagai koordinator untuk Coalition Against Water Privatisation (CAWP) menegaskan bahawa maklumat itu akan digunakan NGO itu untuk mengesahkan dakwaan SYABAS tentang krisis air.

Menurutnya, semua mereka diberikan tempoh 12 hari untuk mendedahkan maklumat itu.

Maklumat itu kemudiannya akan digunakan International Water Association dan National Water Company of Nederlands yang akan membantu SYABAS dalam perkara itu.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan krisis air yang didakwa SYABAS diragui orang ramai kerana semua perangkaan yang diberikan untuk menyokong dakwaan itu datangnya dari SYABAS tanpa disahkan pihak lain.

"Adakah kita menghadapi krisis air atau krisis air ini diolah?" tanya Charles.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa gambar empangan penuh juga bukan petunjuk tepat secara teknikal tentang bekalan air di Selangor.

"Apabila seseorang tunjukkan empangan penuh, ia tidak membawa apa-apa makna kerana ia mungkin hujan (sehari) sebelumnya," kata Charles.

Mengulas cadangan pembinaan Langat 2, Charles berkata ia dicadangkan susulan laporan air oleh National Water Resources Studies (NWRS) 2000 dan 2011.

Laporan itu katanya, disediakan Ranhill Consulting dan SMHB Sdn Bhd yang juga terlibat dalam projek runding cara air.

Tambahnya lagi, laporan itu turut menggunakan unjuran penggunaan air per kapita yang jauh lebih tinggi daripada yang sebenar.

Justeru, ia tidak tepat dan pilihan yang lebih baik adalah menaiktaraf empangan Sungai Selangor untuk menangani bekalan air yang bakal meningkat setiap tahun, katanya.

Malaysiakini
terkini untuk anda