Malaysia menduduki tangga ke 20 dalam senarai pelarian wang haram dunia, menurut kajian Tax Justice Network – sebuah badan kajian berpengkalan di London.

Laporan The Guardian memetik kenyataan pengkaji Tax Justice Network James Henry yang menganggarkan sebanyak US$283 bilion (RM892 bilion) dipindahkan ke kawasan lindungan cukai dari 1970 hingga 2010.

Untuk gambaran, jumlah itu merupakan tiga setengah kali ganda lebih besar daripada jumlah pinjaman luar Malaysia sebanyak RM257.2 billion pada 2011.

Kajian Henry – yang melibatkan data Bank for International Settlements BIS dan International Monetary Fund IMF – menyimpulkan bahawa antara US$21 trilion hingga US$32 trillion telah dipindahkan ke luar negara untuk mengelakkan daripada cukai.

Anggaran Tax Justice Network's ke atas pelarian wang haram dari Malaysa adalah lebih konservatif daripada anggaran oleh pemerhati kewangan Global Financial Integrity (GFI) yang berpengkalan di London.

Dalam satu laporan yang disiarkan pada Disember tahun lalu, GFI menganggarkan sebanyak US$47 bilion (RM150 bilion) dipindah keluar secara haram daripada Malaysia pada 2009.

Dalam tempoh 2000 hingga 2008 pula, GFI menganggarkan sebanyak US$291 bilion (RM927 bilion) dipindahkan keluar secara haram dari negara ini.

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menolak anggaran yang dikemukakan GFI dan hanya memetik  angka RM135.3 bilion untuk pelarian wang haram antara 2000 hingga 2009.

[Baca berita penuh]