PAS anjur 'xpresi profesional muda ke Putrajaya'
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan 'Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya' pada 11 Ogos 2012 sebagai medan pemantapan peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan.
Majlis bertemakan 'Memaknakan Kemenangan' itu akan berlangsung di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam bermula jam 2 petang hingga 8 malam, kata Setiausaha DPPM, Khairul Faizi dalam satu kenyataan.
Katanya, ia sebagai kesinambungan daripada siri-siri 'Xpresi Anak Muda' bersempena Himpunan Hijau Ke Putrajaya yang mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara.
Sehubungan itu, katanya, DPPM menjemput profesional muda dari sektor awam dan swasta, serta alumni kampus dalam dan luar negara untuk hadir menyertai program itu bersama kepimpinan Pemuda PAS negeri dan kawasan serta ahli Parlimen dan ADUN Pemuda PAS.
Menurutnya, pendaftaran awal boleh dilakukan melalui borang pendaftaran maya di capaian berikut: http://tiny.cc/Xpresi-Profesional-Muda.
Menurut Khairul, program itu akan memberi penumpuan kepada aspek peranan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi dan memaknakan kemenangan di dalam kerangka Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat.
Ia juga, tambahnya, dapat menjadi wadah untuk alumni dan profesional muda berdialog dan memberi saranan akhir terhadap polisi dan manifesto yang bakal ditawarkan.
“Program ini turut memberi ruang kepada golongan profesional muda membina jaringan dan maklumat mengikut bidang kepakaran yang diperlukan dalam agenda mengisi kemenangan kelak, selain platform untuk alumni dan profesional muda berdiskusi dan berdialog secara langsung bersama pimpinan tertinggi,” ujar Khairul Faizi.
Peserta juga, katanya, turut berpeluang berdialog secara langsung bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam slot “Wacana Profesional Muda bersama Presiden PAS: Negara Berkebajikan – Cabaran & Peluang”.
“Majlis penutup Xpresi akan diserikan dengan penganugerahan Tokoh Profesional Muda, serahan infaq dan ikrar pilihan raya oleh alumni dan professional muda, seterusnya majlis berbuka puasa bersama pimpinan Pusat dan Pemuda PAS,” katana.
Menurutnya, program tersebut yang terbuka kepada peserta muslimin dan muslimat, boleh diikuti secara langsung melalui kemudahan sidang video untuk mereka di Sabah, Sarawak dan luar negara.
“Jadikan Xpresi ini sebagai manifestasi kebersamaan alumni dan profesional muda dalam agenda mengisi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat di Putrajaya kelak”, tambah Khairul.

