Belas YDP Selayang diperintah bela diri
Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Bakaruddin Othman membela diri terhadap tuduhan menggunakan wang pihak berkuasa tempatan itu bagi penyelenggaraan rumahnya sendiri.
Hakim Asmadi Hussin ketika memutuskan perkara itu berkata selepas membuat penilaian maksimum, elemen di bawah pertuduhan membuktikan bahawa tertuduh telah menggunakan kuasanya.
Sehubungan itu, hakim itu memerintahkan Bakaruddin membela diri pada 9 dan 10 Ogos ini.
Bakaruddin, 58, yang kini bertugas sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Jabatan Perkhidmatan Awam didakwa menggunakan jawatannya sebagai Yang Dipertua MPS untuk mendapatkan suatu suapan dalam bentuk pembiayaan berjumlah RM26,500.
Pembiayaan bagi menyelenggara rumah miliknya sendiri di alamat No 14413 Jalan Laksamana 9, Kampung Laksamana, Batu Caves Selangor itu didakwa diluluskan Bakaruddin di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sebut Harga MPS bertarikh 27 Oktober 200 di mana dia mempunyai kepentingan langsung.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun 2001 hingga April 2002 di Bangunan Majlis Perbandaran Selayang, Bandar Baru Selayang.
Bakaruddin didakwa mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama iaitu penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Seramai 17 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi dan Nik Azrin Zairin Nik Abdullah sementara Bakaruddin diwakili peguam Akbardin Abdul Kader dan Jagjit Singh.
- Bernama

