Sebuah keluarga dengan 12 orang anak tidak perlu lagi mandi di ban berhampiran rumah mereka di Jalan Bomba di Tanjong Karang selepas bekalan air yang dipotong disambung semula menerusi Tabung Budi Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka) hari ini.

Mohamed Raihan Mohamed Esivan, 51, berkata dia bersama isteri serta kesemua anaknya hanya bergantung pada air ban untuk mandi dan membasuh pakaian apabila bekalan air di rumahnya yang tertunggak lebih RM200 dipotong sejak tiga bulan lepas.

"Syukur, terima kasih banyak-banyak kepada Peka kerana kami tidak perlu lagi mandi di ban. Saya memang risau setiap kali mandi di sana kerana aliran airnya deras selain terpaksa meminta ihsan bekalan air dari rumah emak untuk minum dan makan," katanya kepada pemberita pada program bantuan Tabung Budi Peka Daerah Kuala Selangor dan Tanjong Karang hari ini.

Mohamed Raihan, yang bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu antara RM500 dan RM700 sebulan, berkata bantuan yang diterimanya pada hari ini sangat bermakna lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Turut menerima bantuan tabung itu ialah adiknya, Rohman, 47, seorang petani kecil-kecilan yang menetap di Lorong Dua Sungai Kajang Tambahan di Tanjong Karang.

Rohman yang mengusahakan tanaman Timun Aceh juga tidak mempunyai pendapatan tetap dan menyara 10 orang anak serta isterinya yang menderita penyakit barah payu dara.

Selain dua beradik itu, Tabung Budi Peka juga membantu tiga lagi penerima iaitu Salim Ahmad dari Jalan Bukit Panjang di Jeram, Nor Shamsuddin dari Kampung Tok Adam di sini dan Salina A. Rahman dari Jalan Bukit Kuching di Kuala Selangor.

Kesemua mereka menerima bantuan penyambungan semula bekalan air dan pembiayaan bil air selama enam bulan sumbangan Tabung Budi Peka yang diperkenalkan sejak 2010.

Sementara itu, Pengurus Tabung Budi Peka, Hashimah Che Mat Din berkata sejak program itu diperkenalkan dua tahun lepas, 292 keluarga mendapat manfaat dengan nilai keseluruhan sumbangan RM312,000 daripada anggota Peka, petugas Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS), Puncak Niaga, individu dan syarikat korporat.

Beliau berkata penerima bantuan tabung itu terdiri daripada golongan kurang berkemampuan dan yang tiada pendapatan tetap, ibu tunggal, anak yatim dan golongan kurang upaya yang bekalan air dipotong kerana tidak mampu menjelaskan tunggakan bil.

Sempena Ramadan, penerima bantuan itu turut menerima hamper barangan keperluan harian bernilai RM150 yang disampaikan Naib Presiden Peka Abdul Halim Ishak.

- Bernama