Kedudukan rating Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merosot sedikit - daripada 65 peratus pada bulan Mei kepada 64 peratus pada bulan Jun - berikutan kemerosotan ketara dalam kepuasan di kalangan masyarakat Melayu dan India terhadap prestasinya.

Berdasarkan tinjauan akhir bulan Jun oleh Merdeka Centre, kepuasan responden masyarakat Melayu terhadap prestasi Najib adalah 75 peratus - merosot empat peratus dari bulan Mei - dan 69 peratus bagi responden kaum India -  turun tiga peratus.

Kedudukan rating keseluruhan akan menjadi lebih rendah sekiranya tidak kerana responden dari kalangan kaum Cina, di mana 42 peratus berpuas hati dengan prestasi Najib - naik lima peratus daripada bulan sebelumnya.

Kedudukan rating Najib daripada responden Cina telah menjunam pada bulan Mei sebanyak 19 peratus, kepada hanya 37 peratus, dipercayai kerana dipengaruhi oleh cara kerajaan mengendalikan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Menurut Merdeka Centre, kedudukan rating Najib kekal positif dan stabil pada keseluruhan tetapi rasa puas hati terhadap kerajaan beliau, turun enam peratus, dengan hanya 42 peratus responden mendakwa "mereka gembira dengan kerajaan".

[Baca berita penuh]