Tindakan pantas sepasukan pegawai dan anggota polis marin Wilayah Lima mengesan kegiatan mencurigakan berdekatan Jambatan Igan berjaya mematahkan cubaan memindahkan secara haram kira kira 130 batang kayu balak pagi ini.

Ketua pasukan berkenaan, Inspektor Mohd Hidayat Nordin berkata tiga rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 50-an dan seorang berumur 30-an yang merupakan pemandu lori dan pengendali jengkaut telah ditahan dalam operasi itu.

Enam warga asing berusia antara 20 dan 35 tahun yang merupakan krew sebuah kapal dipercayai untuk mengangkut kayu balak tersebut turut ditahan, katanya pada sidang media hari ini di Sibu.

Mohd Hidayat berkata intipan dan operasi terhadap aktiviti itu dilakukan kira-kira pukul 11.50 pagi berdasarkan maklumat daripada orang awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen dan surat kebenaran daripada Jabatan Perhutanan Sarawak untuk mengeluarkan kesemua kayu balak itu dan ia dilakukan bagi mengelak dikenakan cukai," katanya.

Katanya kesemua suspek telah ditahan manakala peralatan, dua buah lori dan kapal bersama muatan kayu balak dirampas dan kes itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Beliau berkata jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM431,500. Mohd Hidayat berkata kes itu adalah yang kedua tahun ini melibatkan rampasan kayu balak selepas tangkapan pertama pada bulan lepas berdekatan Pulau Li Hua di Sungai Rajang.

- Bernama