Bapa tak sangka mayat nahas anaknya sendiri
Seorang pemandu teksi tidak menyangka mayat yang dilihat terbaring di atas jalan adalah anaknya yang meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) Cheng Height di Melaka hari ini.
Ishak Mohd Amin, 60, berkata dia yang dalam perjalanan mengambil penumpang dari Peringgit ke Bukit Rambai melalui kawasan kemalangan tersebut kira-kira
6.30 pagi.
"Saya nampak seseorang terbaring di atas jalan tapi tidak sangka ia adalah mayat anak saya, Mohd Nasiruddin Shah kerana waktu itu keadaan agak gelap.
"Saya sempat berhenti sekejap dan menyuruh pihak polis menutup mayat tersebut atau segera menghantarnya ke hospital sebelum meneruskan perjalanan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka hari ini.
Beliau yang merupakan bekas anggota polis itu berkata dia hanya mendapat khabar tentang kemalangan yang menimpa anaknya beberapa minit selepas itu apabila dimaklumkan anak perempuannya.
Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, mangsa yang merupakan pekerja landskap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) meninggal dunia di tempat kejadian ketika hendak ke tempat kerja di Sungai Putat selepas motosikal yang ditunggangnya dari arah Pulau Gadong dirempuh sebelah kiri oleh sebuah kereta Mitsubishi yang dipandu pelajar sekolah dan rakannya dari arah Alor Gajah.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah kaki kanan sementara dua pelajar yang menaiki kereta Mitsubishi tersebut cedera ringan.
Dalam kejadian lain, seorang pekerja kontrak, Mohd Azrul Aziz, 27, meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran Peringgit Point di sini dalam kejadian 12.30 tengah malam tadi.
Mangsa yang tinggal bersama kakaknya di Bukit Lintang di sini terseret sejauh 27 meter sebelum tercampak dari motosikalnya. Mohd Azrul yang datang dari arah lampu isyarat Pengkalan Batu menghala ke pusat bandar, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Turut cedera parah ialah rakan mangsa, Muhammad Rasyidi Arman, 20 yang membonceng motosikal tersebut dan dirawat di Hospital Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman mengesahkan kedua-dua kejadian tersebut.
- Bernama

