Pendekatan Islam substansial kukuhkan politik perubahan
Semakin kukuh demokrasi, semakin kuat pintu kemenangan politik perubahan di negara Islam. Melalui idea-idea demokasi, keadilan ( al-Adl ), kedaulatan dan kebebasan ( al-Hurriyah ), kedaulatan hukum ( al-Hakimiyyah ) menjadi slogan yang lebih dekat dan mudah diterima oleh masyarakat.
Perjuangan politik perubahan adalah perjuangan melalui proses mendidik, ta'dib . Semakin keras sesebuah parti, organisasi gerakan membuatkan masyarakat umum semakin jauh daripada perjuangan dan inspirasi perubahan
Dalam hal ini, saya cenderung untuk melihat perjuangan Islam melalui wasilah politik melalui dua cabang, satu perjuangan Islam kulit (
branding
), dan cabang yang kedua ada Perjuangan Islam secara isi (
substance
).
Permasalahan yang berlaku terutama di negara-negara Islam majoriti adalah masalah kurangnya penekanan kepada substance , isi dalam perjuangan. Dalam banyak-banyak hal, kelompok pejuang Islam di negara majoriti Islam ini lebih pentingkan bendera, atau tema-tema yang fundamental dalam Islam.
Sebagai contoh mudah, saya berasa tidak selesa, apabila ada beberapa negara yang meletakkan gelaran " Islamic Republic of ...".
Mengisytiharkan negara itu sebagai 'Islam' tetapi dalam banyak hal yang dianjurkan oleh Islam seperti hormat kepada kepelbagaian ( ta'adudiyah ), masyarakat madani ( mujtama' al-madani ), hak asasi manusia ( huquq al-insan ), kebebasan ( hurriyyah ), ketelusan ( shafafiyyah ) dan keadilan ( al-adl ) tidak pula diikuti.
Lebih malang kadar jenayah, kemunduran ekonomi, penindasan sosial dan rasuah berleluasa di kebanyakan negara majoriti Islam. Malah sistem demokrasi atau demokrasi 'suka hati aku' menjadi pegangan.
Kekuatan presiden negara-negara Islam
Esposito dalam buku terbaru Who Speaks for Islam menerusi kajian yang dibuat oleh Gullup Poll menerangkan bahawa hanya satu per empat daripada negara majoriti Islam yang kerajaan dipilih secara demokratik.
Kalau pun dipilih secara demokratik, peratus kemenangan yang dicapai hasil undian adalah antara 90 peratus hingga 99.9 peratus.
Di Tunisia, Ben Ali menang 99.4 peratus dalam pemilihan pada tahun 1999 dan 94.5 peratus pada tahun 2004. Hosni Mubarak menang 94 peratus undi pada tahun 1999 dan 2006 sebanyak 88.6 peratus.
Peratusan yang mencatat sehingga hampir seratus peratus ini adalah bukti yang menggambarkan kepada kekuatan dan pengaruh yang begitu besar presiden negara-negara Islam, ataupun ia adalah bukti bahawa berlaku kepincangan dalam sistem demokrasi yang kita amalkan. Pastinya, faktor ini menjadi salah satu faktor kebangkitan rakyat Arab bagi menuntut demokrasi dan pilihanraya yang bersih.
Cabang kedua yang dinyatakan di atas, adalah kelompok pejuang politik Islam secara isi dan s ubstance.
K
elompok ini menzahirkan politik Islam bukan pada apa yang di pakai atau bendera apa yang di kibar. Tetapi politik Islam secara isi ini adalah mengambil kira nilai Islam dan perjuangan secara mendidik dan ilmu, ta'dib Islami.Nilai-nilai Islam yang menentang kezaliman dan rasuah, mengambil kira urus tadbir yang baik sebagai dasar dalam bina negara ' khayra ummah '.
Amerika gambarkan Ikhwan radikal
Sistem politik disandarkan kepada keadilan, hormat antara satu sama lain dan prinsip hak asasi manusia. Politik Islam secara substantial tidak menggunakan nama Islam untuk mengejar kuasa, tetapi mengejar kebaikan, fastabiqul khairat .
Contoh yang menarik adalah sikap toleransi yang ada kepada pejuang Islam secara substantial adalah keterbukaan kepada kepelbagaian dan bersedia untuk bekerjasama.
Selepas pilihan raya 1995, bekas kumpulan saudara Islam, mewakili generasi muda di Mesir yang ingin bergabung dengan pihak yang lain termasuk haluan kiri Nassirites, Kristian dan wanita bagi membentuk parti baru Hizb Wasat.
Parti baru ini yang bergerak secara demokrasi antara masyarakat Islam dan bukan Islam, Kristian di Mesir.
Parti ini walaupun pelbagai agama tetapi meletakkan syariah sebagai kayu ukur kepada ketamadunan di Mesir. Namun demikian parti ini diharamkan dan pemimpinnya ditangkap seperti kebanyakan parti pembangkang di Mesir.
Ikhwan dalam hal ini mendahului gerakan Islam secara substantial. Seperti perjuangan Ikhwan di Mesir, pihak Amerika Syarikat menggambarkan sebagai radikal Islam yang cenderung terroris.
Tetapi formula kemenangan Ikhwan dalam pilihan raya presiden baru-baru ini dengan kemenangan Dr Mursi kerana mereka dilihat sebagai bersih, telus, adil dan dekat dengan masyarakat.
Pendekatan moderate beri kemenangan
Ikhwan hebat dalam gerakan kebajikannya. Ikhwan mempunyai institusi masyarakatnya sendiri untuk membantu rakyat Mesir, termasuklah hospital, sekolah dan institusi-institusi perlindungan.
Di Turki menarik minat seluruh gerakan Islam sedunia melihat pendekatan substantial, secara toleran dan akomodatif sebenarnya memenangkan Islam.
Parti Refah bawah pimpinan Najmudin Erbakan, bersikap agak keras dan secara terang-terang mengibarkan imej Islam kemudiannya diharamkan pada tahun 1998, setelah berlaku rampasan kuasa oleh pihak tentera atas alasan tergugatnya dasar sekularisme Turki.
Anak didiknya Abdullah Gul dan Erdogan menubuhkan AK Party. Parti secara substantialnya adalah Islam tetapi Imej modern democrat , yang dilihat lebih bersih dan berkemampuan.
Masalah rasuah yang berlaku di Turki akhirnya memberikan kepercayaan rakyat kepada AK Parti untuk memimpin Turki apabila menang besar pada dua pilihan raya sebelum ini.
Pendekatan yang lebih moderate dan sederhana, tetapi hikmah memberikan kemenangan kepada Islam secara substantialnya.
Kemenangan besar adalah apabila undang-undang menghalang mahasiswi memakai tudung dipinda, menjadi lambing baru kepada Turki di bawah kepimpinan politik Islam sedia ada.
Di akhir tulisan ini saya berkeyakinan bahawa Islam akan kembali ke mercu jaya, formula penting bagi politik pembaharuan negara Islam termasuk di Malaysia adalah dengan mengangkat nilai demokrasi dan hak asasi manusia ( huquq al-Insani ).
Demokrasi membawa nilai keadilan, kedaulatan, kedaulatan undang-undang dan karamah insan (kuasa rakyat) seperti yang dianjurkan sistem politik Islam.
MOHD SAIFULLAH MOHD ZULKIFLI timbalan setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

