Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman Umno Selangor berhubung penerbitan artikel dalam akhbar lidah rasmi PAS Harakah berhubung serbuan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama Ogos tahun lalu yang didakwa memfitnah.

Hakim Datuk Ahmad Zaki Husin membuat keputusan itu setelah meneliti peruntukan yang terkandung dalam Seksyen 9C Akta Pertubuhan, lapor Harakahdaily .

harakah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia mengatakan, hanya penama yang dimasukkan dalam daftar pertubuhan sahaja berhak menyaman atau disaman oleh mana-mana pihak terhadap pertubuhan berkenaan.

Mengikut rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Datuk Abdul Rauf Jusof, Setiausaha Kerja Umno Pusat iaitu penjawat awam Umnoa dalah penama yang berdaftar sebagai pendaftar pertubuhan dan hanya beliau yang berhak membuat pendakwaan.

Hakim juga turut memutuskan kedua-dua pihak menanggung kos masing-masing, lapor akhbar web PAS itu.

Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed sebagai plantif menamakan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, pencetak Angkatan Edaran Ent Sdn Bhd, penyunting Ahmad Lutfi Othman dan wartawannya Khairul Azlam Mohamad sebagai defendan.

Peguam yang mewakil defendan adalah Asmuni Awi, Zulhazmi Shariff dan Dr Dzulkarnain Lukman manakala plantif pula diwakili Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Mohd Zin menuntut semua defendan membayar ganti rugi RM10 juta termasuk ganti rugi keterlaluan atau teladan untuk libel dan faedah empat peratus setahun.