Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberi masa sehingga September kepada Tan Sri Khalid Ibrahim untuk menyelesaikan masalah air di Selangor.

NONE Menurut Noh yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor, ia sejajar dengan kenyataan Khalid sebelum ini yang berjanji akan melakukan penstrukturan semula air negeri itu selewat-lewatnya pada September.

"Menteri besar kononnya seorang tokoh korporat dan dia pakar dalam hal korporat ini. Dia mesti tahu tentang proses sesuatu syarikat.

"Dia kata akan selesaikan pada September. Jadi kita beri tempoh sampai September untuk selesaikan. Kalau tak boleh selesaikan, saya desak dia letak jawatan," kata Noh pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, untuk mempercepatkan proses penstrukturan semula perkhidmatan air, kerajaan negeri akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memuktamadkan pengambilalihan itu selewat-lewatnya pada September.

Selain itu, Noh turut berkata, walaupun penstrukturan akan di lakukan, beliau meminta agar projek Loji Rawatan Air Langat 2 tetap diteruskan.

Noh berkata, projek loji itu penting bagi memastikan bekalan air akan terus ada walaupun kerajaan negeri melakukan penstrukturan bagi menyelesaikan masalah air negeri.

"Tak perlu nak halang projek Langat 2. Air mesti ada. Apa guna kalau struktur semula tapi air tiada.

"Menteri besar jangan kelirukan rakyat. Loji dan penstrukturan semula perlu bersama-sama. Bila penstrukturan dah berjaya, loji dah pun siap. Air akan ada.

"Tak adalah penstrukturan semula lepas itu loji tak ada. Dah struktur semula tetapi air tak ada," katanya lagi.

Pemuda PAS sifatkan gopoh & tamak

NONE Sementara itu, Pemuda PAS dalam reaksi segeranya berkata, Noh sepatutnya jujur menyelesaikan masalah air dan tidak wajar "mengugut" Khalid kerana kenyataan sebegitu dilihat  "gopoh dan tamakkan kuasa".

"Sepatutnya beliau membantu MB Selangor dalam memastikan kemelut air diselesaikan dengan segera.

"Dengan kuasa sebagai menteri kabinet, beliau mempunyai banyak ruang melalui kerajaan pusat untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut," kata ketua penerangan Riduan Mohd Nor ( atas ).