PAS mahu majlis fatwa nilai dakwaan 'haram sokong DAP'
PAS menggesa supaya Majlis Fatwa Kebangsaan bersidang untuk menilai kenyataan guru pondok, Abdullah Sa'amah yang antara lainnya menyifatkan DAP sebagai "kafir harbi" dan haram disokong oleh pengundi beragama Islam.
Ketua penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata majlis berkenaan perlu melihat kenyataan tersebut secara menyeluruh kerana ia melibatkan implikasi besar di sisi Islam.
"Ia melibatkan pelbagai muamalah antara umat Islam dengan golongan tersebut, termasuklah haram bermuamalah, berurusniaga, bahkan boleh memerangi mereka.
"Ini perlukan penjelasan dan kenyataan segera dari majlis fatwa sebelum sesuatu yang buruk berlaku di atas kejahilan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, PAS juga kecewa dengan kenyataan mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang sebelum ini menyatakan bahawa majlis fatwa tidak akan membuat teguran kepada Abdullah Sa'amah atas kenyataan yang dilaporkan sebagai tajuk utama Utusan Malaysia minggu lalu.
Dalam laporan itu, Abdullah dipetik sebagai berkata bahawa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kenyataan Harussani bahawa majlis fatwa tidak akan membuat teguran atas kenyataan tersebut bakal menimbulkan persoalan memandangkan Umno juga menolak hukum hudud.
Katanya, perkara itu sendiri ditegaskan perdana menteri yang juga presiden Umno pada 24 September lalu.
"Ini bermakna rakyat juga diingatkan bahawa haram mengundi Umno kerana menolak hukum Allah.
"Majlis Fatwa haruslah menggunakan pembaris yang sama untuk menilai semua isu secara objektif. Haram sama sekali untuk menggunakan pembaris yang tidak sama untuk Umno dan pihak yang lain," katanya lagi.
Sementara itu ketua penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty turut menyatakan kekecewaan terhadap Umno yang menyiarkan pandangan guru pondok tersebut sebagai propaganda politik.
"Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, Umno terpaksa menggunakan pendekatan lapuk ini dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keadaan cemas dan keliru.
"Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang.
"Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan Negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru supaya polemik berhubung "kafir harbi" dan "kafir zimmi" itu ditanggap dengan merujuk definisi oleh pemimpin di negara Islam lain.

