Undang-undang baru akan penjara penyeksa haiwan
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) Kebajikan Haiwan bagi melindungi serta menjaga kebajikan haiwan.
Bagaimanapun, Rang Undang-undang Kebajikan Haiwan ini masih di peringkat draf dan akan dibawa kepada Peguam Negera setelah selesai menerima cadangan dan komen orang ramai.
Antara cadangan yang diterima ialah peruntukan denda bagi individu yang menyeksa binatang sebanyak RM20 hingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, RUU Kebajikan Haiwan itu akan ditapis dan akan dibawa ke Majlis Penasihat Haiwan Kebangsaan sebelum dibawa kepada Peguam Negara dan Parlimen.
"Hari ini bermula paparan peringkat kedua Seranta Awam atas Talian mengenai draf undang-undang kebajikan haiwan.
"Sebelum ini draf telah dipaparkan pada 19 Jun lalu dan telah lalu dan dibuka selama 14 hari untuk orang awam komen dan bagi cadangan.
"Dalam tempoh itu, sebanyak 1,108 perkara baru yang dicadang dan tiga diterima dan dipinda dalam rang undang-undang.
"Antaranya mengenai lesen, penggunaan haiwan untuk tujuan penyelidikan dan had umur bagi pembelian haiwan," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Pengarah bahagian pembangunan sumber teknologi ternakan, Datuk Dr Quaza Nizamuddin.
Penubuhan RUU itu dibuat setelah kerajaan menerima banyak reaksi tentang denda yang dikenakan terhadap pemilik pusat jagaan kucing sementara Petknode sebanyak RM200 kerana mengabaikan kebajikan 30 ekor kucing.
Sehubungan itu, Noh meminta agar orang ramai dapat memberi cadangan dan komen berhubung rang undang-undang ini dengan melayari laman web www.dvs.gov.my atau research.dvs.gov.my/survey.
Setiap cadangan dan komen akan dipertimbangkan bagi dimasukkan dalam peraturan dan kod amalan kebajikan haiwan.

