Beberapa penjaja di Jalan Tunku Abdul Rahman mendakwa dikasari anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan rondaan malam tadi.

Seorang mangsa, Ahmad Adris, 48, yang menjual makanan ringan berkata beliau sedang berniaga menggunakan troli ketika didatangi 40 anggota penguatkuasa DBKL yang merampas trolinya pada kira-kira 10.30 malam.

"Keadaan itu menyebabkan semua hasil perniagaan saya berterabur malah duit saya RM1,500 dan telefon bimbit anak saya juga di dalam troli tersebut," katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.

Ahmad mendakwa anggota penguatkuasa DBKL itu berkata beliau diperlakukan sedemikian kerana berniaga di tempat yang tidak sepatutnya.

"Mereka menyerang saya tanpa memberikan amaran. Sebenarnya saya ada gerai tetapi sedikit tersorok dan tidak dapat dilihat oleh pelanggan, oleh itu, saya menggunakan troli," katanya.

Ahmad, yang hampir 15 tahun berniaga di situ, juga mendakwa terdapat beberapa anggota penguatkuasa DBKL yang bertindak biadab dengan mengajak peniaga bergaduh.

Ekoran itu, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejurus kejadian.

Sementara itu, Pegawai Media DBKL Zurida Hashim ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan balas berhubung perkara tersebut esok.

- Bernama