Pihak berkuasa agama digesa menilai kewajaran menggolongkan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai antara asnaf atau penerima zakat bagi mengelakkan mereka mendekati gereja untuk mendapatkan bantuan.

Sekumpulan ahli akademik dan pendakwah yang menggelarkan diri mereka sebagai Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID) berkata, pihak berkuasa zakat negeri, baitulmal dan institusi mufti patut tampil membincangkan gesaan itu.

Dr Maszlee Malik (2) "Masyarakat mempunyai minda yang terbuka dalam isu-isu berkaitan OKU ini dengan memahami keadaan, keperluan dan permasalahan mereka kerana mereka juga sebahagian dari ahli masyarakat.

"Justeru, MURSHID mencadangkan dan menyeru pihak-pihak berkaitan seperti pihak berkuasa zakat negeri-negeri, baitulmal dan institusi mufti untuk menilai agar golongan OKU ini dimasukkan dalam perluasan skop asnaf zakat," kata jurucakapnya Dr Maszlee Malik.

Dalam kenyataannya semalam, Maszlee juga berkata, jawatankuasa fatwa kebangsaan juga perlu segera bersidang secara lebih proaktif untuk menentukan kedudukan zakat ke atas OKU tanpa perlu menunggu permohonan pihak lain.

Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan, beberapa NGO Islam yang menguruskan OKU berhadapan dengan masalah apabila institusi agama tidak memberi perkhidmatan proaktif kepada golongan memerlukan seperti OKU.

Menurut laporan itu lagi, ini berbeza sama sekali dengan gereja yang didakwa memberi tawaran menanggung perbelanjaan pusat kebajikan OKU tanpa sebarang syarat.

Bercakap kepada Malaysiakini semalam, Maszlee berkata, golongan OKU sebenarnya boleh diserapkan ke dalam asnaf fakir miskin, asnaf fisabilillah (golongan berjihad), dan asnaf al-riqab (golongan bawah belenggu kebebasan).