Star catat untung sebelum cukai lebih rendah suku kedua 2012
Star Publications (Malaysia) Bhd mencatatkan penurunan dalam keuntungan sebelum cukai kepada RM58.557 juta pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2012 berbanding untung sebelum cukai sebanyak RM75.727 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama pada 2011.
Perolehan meningkat kepada RM299.445 juta daripada RM294.254 juta semasa suku berkenaan, demikian menurut syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Bagaimanapun, perbelanjaan operasi lebih tinggi, kos kewangan dan kerugian yang ditanggung oleh anak syarikat yang baru diperoleh mengurangkan margin, menyebabkan keuntungan sebelum cukai turun pada suku berkenaan, katanya.
Syarikat menjangka persekitaran perniagaan dalam industri media kekal mencabar bagi baki tahun ini dan syarikat akan melakukan yang terbaik untuk memastikan prestasi memuaskan bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2012.
- Bernama

