Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Herbert Timbun Lagadan berkata rakyat Sabah seharusnya bijak menilai sejarah dan latar belakang ketua pakatan pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak menabur janji tetapi tidak pernah ditunaikan.

Beliau yang juga ketua bahagian PBS Kadamaian berkata Anwar bukan sahaja gagal menunaikan janji 100 hari untuk memajukan Sabah dahulu, tetapi beliau juga sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu mencapai agendanya untuk berkuasa.

"Inilah Anwar yang sanggup janji apa sahaja, dan kini beliau datang ke Sabah dengan pelbagai janji baharu dengan harapan rakyat Sabah akan terpikat," katanya dalam ucapan pada mesyuarat tahunan PBS bahagian itu, yang dirasmikan Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan di Dewan Gopog Taginambur, dekat Kota Belud hari ini.

Herbert yang juga ADUN Kedamaian berkata semasa presiden PBS (Pairin) memperjuangkan peruntukan yang lebih besar untuk Sabah pada suatu ketika dulu, Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu menggelar Pairin sebagai anti-Kuala Lumpur dan anti-persekutuan.

"Oleh itu, adalah penting bagi rakyat dan generasi muda untuk mengenal siapa sebenarnya ketua pembangkang itu," katanya.

Beliau berkata golongan muda harus melihat sejarah perjuangan PBS yang tidak pernah berubah dan memberikan sokongan penuh kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Herbert berkata keyakinan rakyat terhadap perjuangan PBS masih kuat dan utuh di kawasan itu, sekaligus menjadi penyumbang utama kemenangan BN di kawasan Kadamaian dan Parlimen Kota Belud.

- Bernama

ADS