Hakim Mahkamah Tinggi, Arifin Jaka memberitahu peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa beliau mestilah diyakinkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad secara peribadi mencipta tuduhan liwat ke atas bekas timbalannya itu sebelum mahkamah boleh memutuskan kewajaran Mahathir memberikan keterangan.

"Anda mesti yakinkan saya bahawa Dr Mahathir memainkan peranan mereka-reka tuduhan liwat ke atas Anwar. Menjatuhkan satu sama lain dalam politik adalah perkara biasa. Ia berlaku setiap hari," katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Karpal Singh meyakinkan mahkamah bahawa afidavit Anwar, yang menerangkan keperluan Mahathir hadir di mahkamah, "satu ulangan semua bukti yang telah dikemukakan di mahkamah bagi menunjukkan Perdana Menteri berpakat menuduhnya (Anwar)."

Anwar menfailkan afidavit setebal 10 halaman dua minggu lalu bagi menjelaskan bahawa keterangan Mahathir dalam perbicaraan liwat ini akan membuktikan tanpa ragu lagi bahawa Anwar adalah "seorang mangsa konspirasi politik" yang ditujukan untuk mengaibkan dan merosakkan imejnya dan menjatuhkannya dari kedudukannya.

Tetapi hakim itu menegaskan bahawa beliau tidak akan memanggil Mahathir ke mahkamah jika bukti yang dikemukakan kepadanya tidak mencukupi.

Arifin menambah Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dan Timbalan Menteri Pendidikan Aziz Shamsuddin, dinamakan sebagai mereka yang terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Anwar, perlu hadir di mahkamah untuk mendapatkan bukti bahawa Perdana Menteri sebenarnya memberitahu mereka agar mereka-reka bukti terhadap Anwar sebelum beliau (hakim) memanggil Mahathir untuk memberikan keterangan.

"Jika anda (peguam bela) dapat menunjukkan bukti bahawa Aziz Shamsuddin berbuat semua ini dan berkata PM memberikan persetujuan, kemudian barulah saya meminta beliau (Mahathir) ke mahkamah," kata Arifin.

Arifin juga beberapa kali memberitahu Karpal bahawa beliau tidak berhasrat melindungi Mahathir.

"Kenapa perlu saya melindunginya? Saya di sini bukan untuk melindungi PM atau Mahathir," kata Arifin, sambil menambah bahawa isu ini sangat penting dan nyawa dalam keadaan bahaya.

Mahathir, yang telah disapina sejak November tahun lalu, berkali-kali memberitahu wartawan bahawa beliau bersedia memberikan keterangan dalam perbicaraan liwat Anwar. Perdana Menteri, bagaimanapun, juga berkata beliau hanya menjawab soalan-soalan yang relevan dengan tuduhan liwat dan bukannya konspirasi politik.

Karpal menamatkan keterangannya pagi ini dan timbalan pendakwa raya kanan, Datuk Abdul Gani Patail merayu pada mahkamah agar menyatakan bukti dari Mahathir dalam perbicaraan Sukma tidak relevan.

Sementara itu, seorang lagi peguam bela, Christopher Fernando berkata bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub, hadir di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun Megat Junid tidak memberikan keterangan kerana masa yang panjang diambil untuk menggulung isu tentang kewajaran Mahathir memberikan keterangan di mahkamah.