Kebakaran: Wanita warga emas terjun dari tingkat tiga
Ritual keagamaan bagi menghalau hantu dipercayai punca kebakaran yang hampir meragut nyawa dua beranak dalam kejadian di Jalan Tun HS Lee, di ibunegara semalam.
Dalam kejadian pada jam 3.30 petang itu, wanita warga emas dan anak lelakinya yang tinggal di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai lama di situ, terpaksa melompat keluar melalui tingkap selepas rumah mereka terbakar.
"Tindakan pantas orang ramai menyediakan bantal dan tilam sebagai alas sebelum mengarahkan mangsa yang berusia dalam 70-an dan 30 tahun itu terjun melalui tingkap dari ketinggian 40 kaki, telah menyelamatkan mangsa," kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail.
Beliau yang dihubungi Bernama, berkata kedua-dua mangsa dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, namun tahap kecederaan mereka tidak dapat dipastikan.
Katanya semua tilam dan bantal itu diambil orang ramai daripada sebuah kedai di situ yang menjual barangan tersebut.
Azizan berkata tujuh jentera bomba dari balai sekitar Kuala Lumpur dengan kekuatan 62 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 3.52 petang.
Bomba yang tiba sembilan minit kemudian mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum berjaya mengawal sepenuhnya api yang marak daripada merebak teruk ke premis berdekatan.
Insiden kebakaran itu turut memusnahkan sebuah premis yang terletak bersebelahan kediaman mangsa namun ketika kejadian rumah berkenaan tiada penghuni, katanya.
Rumah di tingkat dua yang terletak di bawah rumah mangsa mengalami sedikit kerosakan akibat insiden kebakaran itu.
"Jumlah kerugian sedang disiasat," katanya.
- Bernama

