Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menyerahkan wang ganjaran RM5,000 kepada polis negeri atas kejayaan memberkas peragut yang menyebabkan kematian seorang wanita pada 10 Julai lepas.

   

Ketuanya Oh Tong Keong berkata pihaknya menawarkan ganjaran itu kepada sesiapa sahaja yang dapat memberkas penjenayah terbabit.

"Selaku pemimpin, setiap janji mesti dikotakan tidak kira kepada sesiapapun kita berjanji.

   

"Jadi kata sepakat telah diambil untuk menyerahkan wang itu kepada polis walaupun kita tahu sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyelesaikan kes itu," katanya kepada pemberita di George Town.   

   

Beliau sebelum itu menyerahkan wang ganjaran tersebut kepada Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi untuk dimasukkan ke dalam tabung kebajikan polis.

Dalam kejadian awal pagi di kawasan parkir Flat Padang Tembak itu, Tan Kim Chuan, 60, diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal ketika hendak keluar ke tempat kerja.

   

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kepala Tan terhentak pada jalan tar dan tubuhnya terseret beberapa meter sebelum ditemui terbaring di tepi jalan oleh orang awam.

   

Mangsa meninggal dunia selepas menjalani pembedahan akibat darah beku di bahagian otak pada hari yang sama.

Pada 22 Ogos lepas, Ooi Kean Leong, 35, seorang pengawal keselamatan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh wanita warga emas berkenaan.

- Bernama