Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aktivis: Polis halang edar risalah dalam kampus UiTM

Sekumpulan pelajar daripada Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) mendakwa anggota polis menghalang mereka daripada memasuki kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam untuk mengedarkan risalah hari ini.

Naib presiden kumpulan aktivis itu, Khalid Ismath mendakwa, sekumpulan kira-kira 50 anggota polis membuat sekatan di salah satu pintu utama kampus berkenaan di Seksyen 7 dan memberi amaran kepada mereka supaya tidak memasuki kawasan universiti itu.

Khalid berkata, anggota polis berkenaan memberi alasan bahawa mereka dihalang kerana bimbang tindakan aktivis berkenaan menggangu proses pendaftaran pelajar baru di kampus tersebut.

"Pada pukul 9.30 pagi, ketika kami bersarapan, beberapa pegawai polis datang dekat kami dan bagi amaran jangan masuk UiTM. Alasannya sebab menganggu perjalanan pendaftaran.

"Kami cakap juga nak masuk sekejap, tapi mereka tak benarkan. Jadi kami edarkan risalah dari luar pagar dekat kereta ibu bapa. Ramai ibu bapa yang beri sokongan dengan mengambil risalah itu.

"Tapi, polis meminta risalah itu kepada mereka (ibu bapa) sebelum masuk. Kalau tak, mereka tak boleh masuk. Polis juga arah untuk kami bersurai atau tindakan akan diambil," kata Khalid.

Menurut Khalid, beliau bersama 10 orang rakan lain daripada Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) dan Kelab Mahasiswa Keadilan berjaya mengedarkan kira-kira 100 risalah.

Khalid berkata, perkara itu merupakan satu kejayaan beliau bersama aktivis mahasiswa lain akan meneruskan usaha untuk mengedarkan risalah tersebut di seluruh kampus dalam negara.

Katanya lagi, kumpulan aktivis berkenaan bersurai pada kira-kira jam 12.30 tengahari selepas mengedarkan risalah selama satu sengah jam.

"Fokus kita ialah UiTM sebab kita dapati UiTM selalu kempen pro-kerajaan.

"Saya juga berhasrat untuk adakan speakers corner di UiTM bagi memberi kebebasan kepada pelajar untuk bersuara," katanya lagi.

Risalah berkenaan antara lainnya menyeru para siswa menyokong usaha "memperjuang pendidikan percuma" bagi mengelakkan mereka menanggung bebanan hutang apabila tamat belajar.

“Cara tersebut adalah dengan menukar kerajaan pusat sedia ada,” kandungan risalah itu dipetik.

ADS