Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir terima anugerah pemberdaya Melayu di Indonesia

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menerima anugerah ijazah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya Dalam Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh

Universiti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo) Jawa Tengah pada upacara khas di kampus induk universiti itu di Surakarta, Jawa Tengah, pada Isnin.

Anugerah itu bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa Dr Mahathir dalam usaha meningkatkan martabat bangsa Melayu di peringkat dunia.

"Jasa Dr Mahathir sangat besar kepada pembangkitan keyakinan diri bangsa Melayu untuk tampil setaraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

"Selama ini mungkin bangsa Melayu masih dianggap rendah daripada bangsa-bangsa lain di dunia, tetapi dalam tempoh kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri Malaysia, orang Melayu terasa terangkat," kata Rektor UNS-Solo Prof Dr Ravik Karsidi pada sidang akhbar di Surakarta pada Ahad.

Dr Mahathir akan menjadi tokoh kedua menerima ijazah doktor kehormat daripada universiti itu, selepas seorang tokoh dari Indonesia kira-kira tiga tahun lalu.

Tokoh pertama penerima ijazah doktor kehormat daripada universiti itu ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Indonesia Dr Mas'ud Wisnu Wardana, yang menerima ijazah doktor kehormat dalam bidang pertanian.

UNS-Solo adalah sebuah daripada universiti awam ternama di Indonesia dan ia berada di ranking ketujuh di antara 72 universiti awam di seluruh Indonesia.

UNS-Solo juga merupakan sebuah universiti yang melatih penuntut Malaysia dalam bidang perubatan.

Bersempena penganugerahan ijazah kehormat itu, Dr Mahathir akan menyampaikan syarahan umum bertajuk "Kriminalisasi Perang" di universiti itu pada Isnin.

Bekas Perdana Menteri Malaysia itu, yang akan diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, dijadual menziarahi makam bekas Presiden Indonesia Soeharto di Giribangun, Solo, selepas upacara penganugerahan itu.

Allahyarham Soeharto semasa hayatnya adalah antara sahabat karib Dr Mahathir.

Sebagai rangkaian kepada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, UNS-Solo dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada hari ini menganjurkan Seminar Antarabangsa bertajuk "Masa Depan Bangsa-bangsa Melayu Di Tengah Krisis dan Perubahan Politik Global".

Dr Mahathir yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia, akan turut menyampaikan syarahan umum bertajuk "War Is Crime" anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana, di Universiti Muhammadiyah, Yogyakarta pada Selasa.

- Bernama

ADS