Ada cuba keruhkan hubungan sultan-MB
ULASAN Dewan Pemuda PAS negeri Selangor mengecam pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk mengeruhkan hubungan yang terjalin baik di antara Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ia semata-mata kerana busuk hati dan dengki kesumat yang tidak sudah hanya kerana kesalahan kecil di dalam jemputan protokol majlis yang belum diketahui asal-usul punca kesilapan tetapi telah digembar-gemburkan sebagai satu penghinaan kepada institusi diraja.
Dewan Pemuda PAS negeri Selangor bersetuju bahawa orang yang paling layak untuk menjelaskan kekeliruan ini adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi selaku pengerusi Jawatankuasa Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan peringkat negeri.
Sekiranya berlakunya sebarang kesilapan dan keciciran maka Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan kerajaan negeri Selangor melalui Dato' Menteri Besar dapat memohon maaf di atas kecuaian tersebut sesuai dengan roh Aidilfitri yang masih berbaki.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut berasa kesal dengan politik sempit yang cuba dimainkan oleh Umno yang berlagak seumpama wira untuk mempertahankan institusi diraja sedangkan pemimpin-pemimpin Umno-lah yang mempunyai sejarah hitam sebagai pengkhianat dan penderhaka kepada institusi beraja.
Mereka selama ini tidak pernah barang sekali berasa sesal dan memohon maaf di atas tindakan mereka.
Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya pemimpin-pemimpin Umno Selangor tidak perlulah cuba membodek dan menggunakan nama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk menyelamatkan kuasa politik Umno Selangor yang sudah semakin tenat.
Rakyat sudah muak dengan sifat bermuka-muka dan putar belit pemimpin-pemimpin Umno. Insya-Allah pada pilihan raya umum ke-13 nanti, Umno dan BN akan sekali lagi dikalahkan oleh kuasa rakyat sama ada di peringkat negara ataupun di peringkat negeri-negeri.
MOHD SANY HAMZAN timbalan ketua Pemuda merangkap pengerusi lajnah politik Dewan Pemuda PAS Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini .

