Senarai tahanan ISA makin panjang?
Dr Mahathir Mohamad memang sangat terdesak. Beliau sedang menggelupur kesakitan dan sanggup melibas ke mana sahaja. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan lagi selepas ini.
Senarai tahanan akta kolot akan menjadi lebih panjang jika rakyat kecut dan berdiam diri. Apatah lagi jika aktivis Barisan Alternatif, khususnya PAS dan Keadilan, lembik dan lembab. Perlu diingat, mereka sendiri berada dalam senarai teratas.
ISA digunakan terhadap tujuh kenalan mereka sebagai umpan - sama ada wujud ketakutan di kalangan masyarakat atau menyebabkan Umno serta kerajaan semakin terpinggir dan kian sukar. Ibarat kata Mahathir, jika ISA ditunjukkan oleh kita sebagai 'penyelesaian penyakit politik' beliau, akta kejam ini akan digunakan lagi.
Sebenarnya selama ini, ramai orang tidak percaya ISA akan digunakan oleh Mahathir - beliau dilihat sangat bermasalah dan tidak berhasrat memikul beban lagi. Tetapi seorang tahanan ISA kini sering percaya, "tunggulah, Mahathir akan melibas saat-saat akhir."
"Teruk kita kena," begitu pesan Hishamuddin Rais kepada kenalan-kenalannya.
Pada petang 10 April lalu, sekitar jam 5 petang, ramai orang tidak percaya kerajaan sanggup menahan empat (waktu itu) pemimpin dan aktivis di bawah ISA. Kami di malaysiakini sendiri berkali-kali berhujah sesama sendiri walau telinga saya sendiri mendengar kata-kata Kak Jije (panggilan mesra untuk Aliza Jaafar) bahawa suaminya, Saari Sungib, ditahan di bawah seksyen 8 akta zalim itu.
Kami hanya bertambah yakin apabila diberitahu bahawa Tian Chua juga turut ditahan ISA. Itulah puncanya pada peringkat awal - sebahagian kerana tidak yakin dan sebahagiannya kerana tiada sumber rasmi - malaysiakini hanya melaporkan berita "mereka dipercayai ditahan di bawah ISA"!
Malah, ramai kenalan dan pembaca malaysiakini menghubungi pejabat untuk mendapatkan pengesahan kerana masih tidak yakin kerajaan sanggup membaham tujuh orang itu di bawah ISA. Fikir mereka barang kali, 'tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.'
Nampaknya kita semua termakan analisa sendiri. Kita masih lagi mentah (naive) membaca penangan politik Mahathir yang kian tersepit, suntuk, rapuh dan insecure . (Ini diakui sendiri dua kali ketika kami bertemu Zainuddin Maidin di Kementerian Penerangan, 12 Mac lalu). Kita masih membayangkan bahawa kerajaan ini lembik dan perlukan suntikan sokongan massa. Dalam keadaan itu, tentulah tidak popular menggunakan ISA.
Mencuit gergasi nyanyuk
Dalam ungkapan lebih canggih, kita boleh sahaja disebut terkena jerat paradigm paralysis - minda kita gagal melihat kemungkinan baru akibat terlalu biasa dengan corak kefahaman atau analisa politik sedia ada.
Sebagai aktivis media bebas, bekas aktivis pelajar sejak pertengahan 1980-an dan pengamat politik yang rapat dengan reformasi kini, saya memahami falsafah politik sejak 1998 sangat mudah - 'zaman krisis'. Oleh itu, peraturan lama untuk memahami senario politik jauh sekali berbeza dan malah, tidak boleh dipakai. Kita harus mampu, ibarat pesan Alvin Toffler, to think beyond unthinkable .
Minda, perlakuan dan strategi harus di luar batasan konvensional. Sejak 1998, saya menjangkakan media akan ditindas. Malah, waktu itu saya telahpun mengajukan idea (dan menyiapkan kertas kerja) agar kumpulan wartawan bersatu dan berpadu menghadapi saat-saat genting ini. Sebab itu saya tidak hairan Detik akhirnya ditutup sebaik sahaja permitnya tamat penghujung 1999. Tindakan terhadap Harakah juga tidak memeranjatkan.
Seminggu selepas pilihanraya umum, selepas merayakan kemenangan di Terengganu, saya percaya Mahathir hanya mempunyai tiga pilihan umum. Pertama, bersikap lembut, mengambil hati rakyat dan cuba memancing pengaruh.
Tetapi apabila akhbar mingguan Eksklusif ditutup pada April tahun lalu dan ucapan Mahathir tidak menunjukkan sikap lunak, saya sedar rakyat sebenarnya sedang bertarung dengan gergasi tua. Saban hari kita memantau sikap kerajaan terhadap media dan kita sangat sedar kongkongannya makin terasa - dua, tiga hari lalu pemimpin kerajaan tanpa segan silu lagi mengumumkan untuk mengetatkan undang-undang mengenai media, termasuk akta internet dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.
Oleh itu, jelas sekali pilihan ketiga diambil oleh Mahathir iaitu melawan musuh-musuh politiknya. Sesiapa sahaja yang cuba mencuit gergasi nyanyuk ini akan terkena latahnya yang luar biasa - walau kita mungkin bermaksud untuk bergurau atau mengacah-acah.
Keadaan stand-off juga bukan pilihan Dr Mahathir. Lagipun itu bukan jiwanya. Beliau memang dikenali seorang yang suka berlawan dan sanggup melawan. Malah, pernah dikatakan Dr Mahathir sanggup 'membunuh sekecil-kecil musuh dengan sebesar-besar senjata.' Dalam kes bekas timbalannya Anwar Ibrahim, Mahathir mengguna pakai falsafah ini walau terpaksa menghadapi kecaman orang ramai.
Peristiwa-peristiwa politik ini, termasuk tangkapan di bawah ISA dan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan, harus menjadi barometer (penyukat tekanan) politik. Jika tidak, kita ternyata kelihatan sangat mentah dan dangkal membaca langkah-langkah panjang Dr Mahathir.
Pada hemat saya, semua tindakan kerajaan ini berada dalam satu pakej. Ertinya, tindakan itu memasukkan gambaran besar (selain pecahan-pecahan peristiwa) sebab-akibat keputusan politik Dr Mahathir ke atas negara ini dan hubungannya dengan Umno-pembangkang, sama ada jangka pendek, sederhana atau panjang.
Tertelan propaganda sendiri
Sebab itu, saya percaya tangkapan ISA ini dijadikan barometer Dr Mahathir untuk melihat reaksi rakyat, khususnya BA, Keadilan dan PAS. Misalnya, sejauh mana mereka pantas bertindak membantah tindakan kerajaan ini? Apakah rakyat akan bersama mereka atau rakyat lari lintang-pukang bersembunyi? Siapa lagi atau kumpulan mana yang boleh menggantikan tujuh aktivis reformasi ini untuk menentang kezaliman ISA?
Selama ini, kempen anti-ISA kelihatan semakin popular, malah dikatakan berjaya. Sejak peristiwa reformasi 1998, apabila wujud Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak), rakyat melahirkan kebencian terhadap akta itu. Pelekat, riben putih, lencana dan risalah anti-ISA bukan sahaja laku, malah dipamerkan dengan megah.
Kemuncak kempen itu diadakan di depan kem tahanan ISA di Kamunting, Perak sempena ulang tahun Operasi Lalang pada Oktober tahun lalu. Orang Melayu, sebagai pengukur penolakan terhadap ISA, semakin ramai dan berani.
Akibat penolakan massa yang terancang dan terbuka ini, aktivis reformasi, parti pembangkang dan penyokong mereka tertelan propaganda mereka sendiri. Minggu lalu, tiba-tiba khayalan mereka pecah berderai dan mereka kaget sekali. Kekalutan mereka itulah yang mendorong isu anti-ISA hari ini kelihatan begitu semput, longlai dan malas.
Mereka tidak menduga kerajaan sering memerhatikan dan menunggu saat-saat mereka lalai. Kelalaian sekali ini akan memastikan senarai tahanan ISA semakin panjang. Tunggulah!
FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.