Pembangkang cadang PM didakwa menghina agama
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad "harus diheret di bawah Kanun Keseksaan" kerana didakwa "menghina agama."
Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Kuala Terengganu) berkata demikian di Dewan Rakyat pagi tadi ketika membahaskan isu sebab-sebab kerajaan bercadang menggunakan seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan terhadap golongan yang dianggap pelampau dan kumpulan fanatik agama dan sejak bila peruntukan undang-undang itu akan dilaksanakan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum itu menjawab, seksyen ini diperkenalkan sejak Februari 1983 untuk menjamin keselamatan awam.
Beliau kemudiannya membaca pecahan 1(a) dan (b) di bawah seksyen itu.
Menurut peruntukan itu, seseorang yang cuba menimbulkan perpecahan dan kebencian, sama ada bertulis atau lisan, berdasarkan asas-asas agama boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

