Polis: Sakit jantung punca kematian tahanan di lokap
Sakit jantung dikenalpasti sebagai punca kematian seorang tahanan dalam lokap ibupejabat polis Dang Wangi semalam, demikian menurut polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata berdasarkan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur, kematian pemandu lori Chandran Perumalu, 47, disebabkan sakit jantung.
Katanya, Chandran yang ditahan pada 6 September kerana disyaki terlibat dalam kes culik kanak-kanak di Sungai Besi ditemui mati pada 7.20 malam ketika anggota polis hendak mengejutnya dari tidur.
Oleh itu, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut, kata Zainudddin.
Beliau berkata Chandran yang sudah berumahtangga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.
“Menurut isteri Chandran, suaminya menghidapi penyakit darah tinggi dan beliau pernah mengalami serangan jantung beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata mayat Chandran dituntut oleh anggota keluarganya pada 4 petang ini.
- Bernama

