Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Remaja cedera terkena tembakan dilepas bapa
Diterbitkan:  Sep 12, 2012 6:15 AM
Dikemaskini: Sep 12, 2012 9:40 AM

Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun cedera di kaki selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Panorama Rapat Indah, Gunung Rapat di Ipoh semalam.

    

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, mangsa dipercayai mahu meleraikan pergaduhan antara ibu dan bapanya sebelum terkena tembakan tersebut.

    

"Berlaku perselisihan faham antara suspek dan isterinya sebelum pergaduhan berlaku di antara mereka. Suspek yang menggunakan pistol jenis Browning cuba bertindak melepaskan tembakan terhadap isterinya.

    

"Malangnya mangsa yang mahu meleraikan pergaduhan itu terkena tembakan tersebut," katanya menerusi sistem pesanan ringkas semalam.

    

Mohd Shukri berkata suspek berusia dalam lingkungan 40-an itu yang terkejut dengan kejadian tersebut kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.

    

Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut dan gerakan mencari suspek sedang dijalankan.

    

Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya segera

melaporkannya kepada balai polis berhampiran.

    

- Bernama

ADS