Pemimpin MCA hilang rakan FB ekoran aduan polis
Ketika polis sedang menyiasat aduan terhadap 15 pengguna Facebook kerana didakwa memuatkan gambar perdana menteri dengan corak tapak kasut di muka, komuniti Internet menunjukkan sikap menentang pemimpin MCA Pulau Pinang yang membuat laporan itu.
Ketua MCA negeri Tan Khai Beng, yang membuat laporan itu di Balai Polis Jalan Pattani pada Isnin, menerima kritikan hebat di laman jaringan sosial kerana didakwa membahayakan keselamatan rakan-rakan Facebooknya.
Gambar beliau membuat laporan polis kini beredar, dengan warga maya memberi amaran untuk menyekatnya daripada laman mereka serta membuat gambar dengan corak kasut itu bagi mengelakkan masalah.
OCPD George Town Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, kes itu disiasat bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berkenaan penyiaran komen dengan niat "menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain".
Ketua Wanita MCA Tan Cheng Liang ( kanan ) ditanya sama ada BN dan kepimpinan MCA menyokong aduan Khai Beng, yang dilihat sebagai cuba mengintai pengguna Facebook yang menerimanya sebagai 'rakan'.
Cheng, dengan memetik Konfusius, berkata: "Jangan lakukan kepada orang lain apa yang kamu tidak mahu berlaku kepada kamu".

