SPR: Kod etika k'jaan sementara untuk PRU13
Penggubalan kod etika untuk kerajaan sementara yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dapat digunapakai menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kelak.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kod etika itu mengandungi perkara 'boleh dan tidak boleh' yang bukan sahaja perlu dipatuhi oleh kerajaan sementara yang dilantik, malah juga semua parti politik, calon, ahli politik serta ejen pilihan raya yang terlibat.
"Kita sedang dalam proses menyiapkannya. Jadi, Insya-Allah dalam PRU akan datang kita akan dapat menggunakannya," kata beliau kepada wartawan selepas menjadi panel jemputan Bernama Radio24 dalam program 'Dalam Radar Khas' di Wisma Bernama malam tadi.
Selain Abdul Aziz, anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution turut hadir pada program selama satu setengah jam yang bertajuk 'PRU 13: Ujian Untuk Semua' itu.
Mewujudkan sebuah kerajaan sementara dan satu kod etika merupakan satu daripada 22 cadangan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan awal tahun ini.
Abdul Aziz berkata kod etika itu kebanyakannya diolah daripada undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya dengan memberi lebih penekanan.
Katanya sistem kerajaan sementara di negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada dan Australia juga dilihat dalam merangka kod etika tersebut.
Antara kesalahan yang dianggap melanggar kod etika ialah mengumumkan satu projek baru untuk rakyat, yang sebelum ini tidak pernah diperkatakan ataupun terkandung dalam mana-mana pelan pembangunan terdahulu.
Mengenai pengundi pos bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara, Abdul Aziz berkata Pejabat Peguam Negara masih mengkaji sama ada cadangan itu memerlukan pindaan pada akta berkaitan sebelum dilaksanakan.
"Salah satu syarat yang dicadangkan ialah memerlukan rakyat Malaysia balik dan tinggal sekurang-kurangnya sehari di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum PRU," katanya.
Bagaimanapun, beliau kecewa kerana sehingga kini, hanya 2,400 rakyat Malaysia yang bermastautin di luar negara telah mendaftar sebagai pemilih.
Terdahulu dalam wawancara itu, Abdul Aziz berkata SPR sudah 85 peratus bersedia untuk menghadapi PRU-13 yang akan diadakan bila-bila masa.
Beliau juga berharap negeri yang diperintah parti pembangkang akan turut mengadakan pilihan raya negeri bersama dengan pilihan raya umum bagi menjimatkan kos kewangan, masa dan tenaga kerja.
- Bernama

