Mahkamah Koroner hari ini memutuskan bahawa kematian pemandu teksi yang juga ahli PAS, Baharudin Ahmad semasa perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai tahun lepas adalah kerana sebab-sebab semula jadi.

Koroner Zulkipli Abdullah menolak sebarang perbuatan khianat,

tetapi mendapati ada gas pemedih mata dan air bercampur kimia di tempat Baharudin berada pada masa kematiannya.

baharudin ahmad funeral bersih 1 Sebelum ini, beberapa anggota polis dan skuad anti-rusuhan memberitahu inkues tersebut bahawa tiada gas pemedih atau air bercampur kimia ditembak.

Koroner Zulkipli membuat keputusan bahawa gas pemedih mata dan air bercampur kimia itu telah ditembak, berdasarkan kepada rakaman CCTV dalam kawasan pusat bandar Kuala Lumpur.

Koroner juga menegaskan bahawa polis telah bertindak ganas pada hari itu, berdasarkan kepada keterangan para saksi.

Bagaimanapun, katanya, tidak ada pernyataan atau keterangan (di mahkamah) bahawa gas pemedih mata atau air bercampur kimia telah mengenai mangsa atau dia telah diserang.

Berikutan itu, katanya, mahkamah memutuskan bahawa Baharudin meninggal dunia kerana sebab-sebab semula jadi.

Inkues yang bermula pada 30 Januari dan berakhir 18 Julai lepas menyaksikan 35 saksi memberi keterangan termasuk Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur SAC Datuk Amar Singh dan Pakar Patologi Forensik Dr Khairul Anuar Zainun.

   

Inkues bagi menyiasat kematian Baharudin itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh, Ahmad Ishrakh Saad, Henry Tan dan Mohamed Shah Reza Noor Azman manakala keluarga Allahyarham diwakili peguam Ahmad Jufliz Faiza dan Patrick Das.

Zulkipli dalam penghakimannya berkata terdapat dua keterangan bercanggah sama ada terdapat penggunaan gas pemedih mata dan semburan air yang dilepaskan sebagaimana polis dan seorang penyelia keselamatan di KLCC telah memberi keterangan bahawa tiada perkara sedemikian berlaku.

Bagaimanapun, katanya, tujuh saksi yang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu memberi keterangan bahawa mereka mendengar tembakan gas pemedih mata dan ada antaranya yang turut merasai sedikit kesan gas pemedih mata tetapi tidak sekuat yang dirasai di Dataran Maybak.

"Terdapat juga satu rakaman video CCTV yang dibuat oleh pihak pengurusan bangunan KLCC yang menunjukkan sebahagian kesan asap putih dan semburan air yang perlahan. Semburan air yang perlahan tersebut adalah air yang meleleh keluar akibat dari kerosakan yang berlaku pada alat penyembur.

"Berdasarkan keterangan, mahkamah berpuas bahawa terdapat keterangan yang mencukupi untuk mahkamah memutuskan bahawa terdapat tembakan gas pemedih mata yang telah dilepaskan oleh anggota pasukan keselamatan untuk menyuraikan peserta perhimpunan yang berada di kawasan persimpangan di hadapan bangunan KLCC dan terdapat semburan air sebagimana yang dapat dilihat di dalam rakaman video CCTV," katanya.

[Baca berita penuh]