Penduduk di beberapa kejiranan di Bangsar di sini akan diraikan di majlis ‘Hari Malaysia Family Night’ pada Ahad 16 September.

    

Menurut satu kenyataan daripada Sukarelawan Kejiranan Limau  Purut, lebih 500 buah isirumah di Jalan Limau Purut, Limau Manis, Limau Besar dan Lorong  Maarof dijangka menyertai majlis itu bersempena dengan Hari Malaysia.

    

Penduduk kawasan ini aktif mengatur aktiviti berdasarkan kepada komuniti semasa musim-musim perayaan termasuk semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali, Krismas dan Hari Merdeka.

    

Kenyataan itu juga menyebut pelbagai juadah yang disediakan oleh penduduk dan restoren-restoren popular di situ akan dihidangkan kepada tetamu di acara itu yang akan berlangsung di Jalan Limau Purut.

    

Bagi menghiburkan tetamu, penduduk dan anak-anak mereka yang berbakat akan mempersembahkan lagu-lagu dan tarian berbilang budaya untuk menghiburkan tetamu di majlis itu bermula pada pukul 8 malam dan berakhir pada pukul 10.30 malam.

    

Selaras dengan semangat Hari Malaysia, acara ini diadakan bertujuan membawa keluar lebih ramai jiran daripada zon selesa masing-masing selain mewujudkan peluang untuk saling mengenali antara satu sama lain.  

    

Kenyataan itu juga menyebut acara komuniti seperti ini juga banyak membantu dalam usaha memerangi jenayah yang merupakan bahagian penting dalam kerjasama antara penduduk dan pihak berkuasa dalam membanteras jenayah di kejiranan itu.

- Bernama