Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kritikan di Internet terhadap Sumazau yang dianggap menghina tarian tradisi negeri itu.

Malah, mereka beranggapan ia turut menghina Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat mempersembahkannya, seperti yang dimuatkan di Youtube.

bn supreme council mt meeting sapp sabah issue 190608 pairin kitingan "Artikel itu betul-betul memalukan dan sangat serius. Kami tidak dapat terima dan mesti disiasat.

Pengendali blog ini mesti diambil tindakan dengan sewajarnya, " Kata Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Pairin Kitingan ( kiri ).

KDCA membuat laporan di Balai Polis Penampang pada 13 September 2012 berkenaan perkara tersebut.

Semakan Malaysiakini mendapati blog berkenaan Suara Pakatan Rakyat telah menarik balik dan memohon maaf atas penyiaran tulisan itu.

Mesyuarat tergempar

Blog itu sebelum ini yang menyiarkan artikel bertajuk "Tarian Sumazau Untuk Golongan Rendah Akhlak", yang ternyata menaikkan kemarahan rakyat Sabah yang mengecam keras penulis blog tersebut.

Penulisan itu dikatakan mempersendakan tarian Sumazau dan seolah-olah ingin menggambarkan masyarakat KDM sebagai minoriti yang tidak penting.

Sentimen kemarahan rakyat Sabah jelas tergambar apabila ibu pejabat KDCA menerima panggilan telefon tanpa henti untuk meluahkan perasan tidak puas hati mereka terhadap kandungan artikel tersebut.

Ekoran itu, suatu mesyuarat tergempar diadakan antara KDCA dengan persatuan-persatuan lain berasaskan kaum KDM pada semalam di Penampang.

Sementara itu, Pairin menambah, kandungan artikel tersebut juga amat jelas telah mengguris perasaan hati masyarakat KDM sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.

"Oleh itu, KDCA bersama persatuan berasaskan kaum KDM lain, meminta pihak berkuasa untuk memburu penulis blog berkenaan atau kumpulan yang bertanggungjawab terhadap artikel tersebut dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan," jelas beliau.

Sumazau merupakan tarian suku kaum Kadazan yang diterima dengan baik oleh masyarakat berbilang kaum Sabah. Ia sering ditarikan di majlis-majlis rasmi serta upacara perkahwinan.

ADS