Hisham sasaran kritikan dalam jamuan malam PKR
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi sasaran kritikan dalam majlis jamuan malam perdana di Skudai malam tadi ekoran kenyataannya bahawa kerajaan tidak perlu menjamin keselamatan program jelajah pembangkang yang terus dicemari perbuatan khianat.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai "angkuh" dengan kekuasaan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Hishammuddin gagal mendisiplinkan penyokongnya.
"Kamu berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk parti, ini jelas menunjukkan keangkuhan kuasa.
"Mujurlah penyokong PKR, PAS dan DAP lebih berdisiplin. Kita tidak boleh dengan senang-senang membuat provokasi kepada mereka. Kita tidak mahu bergaduh, kita mahu menawan Putrajaya.
"Ini satu Malaysia dengan dua undang-undang, satu untuk Umno dan orang kaya, dan satu lagi untuk rakyat," katanya merujuk kepada penahanan gadis 19 tahun kerana memijak gambar perdana menteri semasa himpunan Janji Bersih.
Hishammuddin dalam tulisan Twitter pagi ini bagaimanapun mendakwa kenyataannya berhubung keselamatan program pembangkang semalam telah diputar belit. [Baca berita penuh]
Kit Siang: Tamparan pada 'Janji Ditepati' PM
Sementara itu dalam kenyataannya petang ini, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang hari ini turut menyelar kenyataan Hishammuddin itu dan menanggap penafiannya sebagai tidak meyakinkan dan cubaan mengawal keadaan.
"Saya sudah dengar klip audio temu bual dengan Hishammuddin yang dimuatkan di lamannya, dan jelas penjelasan
Malaysiakini
lebih meyakinkan daripada penafian Hishammuddin," katanya.
Lim berkata, Hishammuddin masih gagal mengutuk serangan "keganasan dan tindakan buas politik" yang mensasarkan Pakatan setakat ini.
"Sebaliknya, pendirian 'tidak jaminan keselamatan' akan menjadi tamparan hebat ke muka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ekoran ia menolak sama sekali slogan 'Janji Ditepati' yang meniti di bibirnya untuk beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.

