PM: K'jaan tak lupakan pembangunan luar bandar
Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan BN tidak pernah memungkiri janjinya untuk membawa pembangunan di kawasan luar bandar dengan sentiasa memberikan peruntukan besar bagi tujuan
itu dalam setiap Belanjawan.
Perdana menteri berkata kerajaan tidak pernah lupakan dan sentiasa mengutamakan agenda pembangunan di luar bandar dan juga pembangunan antara wilayah dan negeri.
"Mengikut Bidang Keberhasilan Utama Negara, kita beri tumpuan kepada (pembangunan) luar bandar.
"Dalam bajet kita (sebelum ini) kita berikan peruntukan besar kepada kawasan luar bandar, prasarana luar bandar menerusi program-program yang dibangunkan Felcra, Felda dan Risda," katanya.
Kerajaan BN tidak pernah memungkiri setiap janji yang dibuatnya sebelum ini selaras dengan cogankata "Janji Ditepati", katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Felcra Berhad peringkat nasional di Dataran Pekan, di Pekan, hari ini.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.
Dalam pada itu, perdana menteri menjelaskan cogan kata "Janji Ditepati" adalah selaras dengan ajaran agama Islam yang perlu dijadikan pegangan setiap insan.
Beliau berkata bagi orang Islam, tanpa pegangan itu akan menjadikan seseorang itu munafik sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW:"
Bahawa tanda-tanda munafik itu ada tiga (iaitu) bila berbicara ia berbohong, bila berjanji ia mungkiri, bila diberi amanah ia khianati".
Najib berkata setiap umat Islam perlu menghindari tiga perkara itu supaya tidak menjadi seorang yang munafik.
"Ini sesuatu pegangan yang perlu dihayati kita, sebagai umat Islam, kita ada janji kepada Allah, sebagai khalifah kita juga berjanji kepada Allah, dan sebagai manusia kita juga mempunyai janji sesama manusia," katanya.
- Bernama

